Dia demam lepas kena cucuk kat hospital. Ini cucuk rutin yang dikenakan kepada bayi tu.
Patutnya kena cucuk masa umur dia setahun 5 bulan, tapi sebab ada masalah sikit, tu yang tangguh sampai umur dia setahun 8 bulan.
Masa kena cucuk tu, memang dia menangis la. Sampai mengamuk nak keluar bilik doktor. Berjurai-jurai air mata keluar.
Lepas tu saya bawa dia pergi kedai makan, kebetulan saya pun tak sarapan lagi. Masa tu mood dia nampak dah ok, ceria je tengok Upin dan Ipin, tapi isteri saya kata badan dia suam sikit.
Demam
Lepas makan, saya terus bawa anak saya ni balik. Masa on the way, dia pun dah tidur dalam kereta.
Sampai rumah, saya angkat dia dan dia masih lagi lena tidur. Ingat nak bagi ubat demam, tapi sebab tak sampai hati nak kejut, saya biarkan dia tidur.
Sepatutnya, anak saya ni kena bagi ubat demam untuk elakkan dia demam, tapi dah dia lena sangat, saya tangguh dulu.
Sejam lebih lepas tu, dia pun bangun. Saya pun datang kat anak saya ni, dan bila saya pegang badan dia, ish panasnya!
Cuak juga saya, sebab badan dia panas semacam. Yang menambahkan lagi kerisauan saya ialah bila mendengar cerita anak-anak kawan isteri saya yang mula-mula demam panas, lepas tu disyaki menghidap H1N1. Menakutkan.
Tapi, mujur saya teringat yang anak saya baru lepas cucuk, sebab tu dia demam. Lalu, saya pun ambil ubat demam untuk diberikan kepadanya.
Sunyi
Saya bawa dia pergi cucuk pada hari Khamis. Malam tu demam dia masih tak kebah lagi. Lepas tu, dia bukan takat demam je, siap batuk lagi.
Bila dah demam, anak saya jadi pasif. Asyik nak baring je. Makan pun tak lalu.
Abah mana tak kesian tengok anaknya sakit, lepas tu terbaring je. Bangunkan dia untuk makan ubat pun dia menangis.
Malam-malam pun tidur tak lena. Kalau batuk je mesti terjaga. Lepas tu, selang sejam mesti bangun. Dia bangun macam mencari-cari saya dan ibunya. Jadi, saya dan isteri pun bersengkang mata menjaga anak saya ni secara bergilir-gilir.
Semakin sembuh
Khamis, Jumaat, Sabtu. 3 hari ini anak saya laluinya dalam keadaan demam. Tak aktif langsung dia, asyik terbaring je.
Kalau tak, dia mesti berlari sana, berlari sini, panjat sana, panjat sini, gelak seorang diri dan macam-macam lagi aktiviti yang dia buat yang saya sendiri pun tak dapat jangka.
Rindu saya nak tengok dia aktif macam tu. Walaupun penat nak menjaganya, tapi sekurang-kurangnya saya tahu dia sihat bila dia berkelakuan begitu.
Namun begitu, pada petang Sabtu ini, selepas dia membuang air besar, demamnya terus sembuh dan dia kembali sihat.
Anak saya sudah aktif semula. Rumah saya yang sudah 3 hari sunyi tanpa riuh rendah suaranya kini gamat semula.
Lari sana dia jerit, lari sini dia jerit, panjat kerusi dia jerit, tengok Upin dan Ipin pun dia jerit. Tak tahulah saya apa sebabnya dia menjerit macam tu.
Tapi, keriuhannya memberi kegembiraan kepada saya kerana sudah lama saya rindukan jeritan suaranya.
Jika semasa sakit, dia lebih kerap merengek, sampai saya pun berasa sangat kasihan. Bila dia merengek, muka dia jadi sedih memohon simpati. Saya pun jadi down nak buat kerja, asyik fikir pasal dia saja.
Kini, dia sudah sihat semula. Bila semakin sihat, nak buat kerja pun payah, mana taknya, dah aktif balik kan.
Tapi tak mengapa, kerja ni anytime boleh buat, tapi meluangkan masa dengan anak yang aktif dan ceria ni jarang-jarang saya dapat nikmati. Nanti masa sakit barulah nak teringat yang saya jarang luangkan masa bersama anak.
Jadi, sentiasalah luangkan masa bersama-sama anak kita kerana kita sendiri tidak tahu sampai bila keceriannya akan kekal. Takut bila satu masa nanti anak kita dah tak ada, baru nak sedih, baru nak menyesal pun tak berguna lagi.
Anak ni antara anugerah Allah yang paling besar, jadi hargailah dia sebaik-baiknya.
Semoga saya dan anda mendapat manfaat bersama-sama melalui artikel ini.

No comments:
Post a Comment