Thursday, August 14, 2014

3 salah faham tentang menyimpan duit

Simpan duit, simpan duit, simpan duit.

Semasa saya kecil, ibu saya selalu berpesan menyuruh saya menyimpan duit supaya saya dapat gunakan ia pada waktu yang diperlukan.

Kadangkala saya simpan, kadangkala tidak. Ada waktu saya simpan duit sebab nak beli komik kegemaran saya iaitu 'Mutiara Naga' atau lebih dikenali sebagai 'Dragon Ball'.

Di sini saya ingin memberitahu kepada anda semua 3 salah faham tentang menyimpan duit.

Salah faham ini sering berlaku kepada sesiapa sahaja di luar sana termasuk anda.


Salah faham pertama: Belanja dulu baru simpan

Inilah adalah kesilapan biasa yang sering manusia lakukan. Apabila dapat gaji, mereka akan belanjakannya dahulu dan jika ada lebih baru mereka simpan.

Itu pun jika ada lebih, jika tidak ada lebih bagaimana? Pasti simpanan tidak dapat dilakukan langsung.

Jadi, anda sepatutnya menyimpan dahulu sebahagian duit gaji anda sebelum dibelanjakan. Selepas membuat simpanan, maka anda boleh belanjakan kesemua baki duit gaji anda.


Salah faham kedua: Tunggu gaji naik

Inipun salah satu salah faham yang sudah menjadi kelaziman pada semua manusia.

Nak tunggu gaji naik baru nak buat simpanan.

Sebenarnya, apabila gaji naik, selera membeli anda juga bertambah. Jadi itu tetap membuatkan gaji anda sentiasa tidak cukup untuk menyimpan walaupun gaji anda naik.

Sebaiknya, anda disiplinkan diri anda untuk menyimpan bermula dari sekarang dan bukan tunggu gaji naik. Disiplinkan diri walaupun dengan gaji yang kecil.


Salah faham ketiga: Nantilah. Semuanya ok

Semuanya ok la, takkan jadi apa-apa la.

Ramai orang yang tidak menyimpan duit kerana mereka menganggap semua perkara akan berjalan lancar dan tidak akan timbul masalah.

Siapalah kita nak tentukan semuanya akan berjalan lancar, lambat laun pasti akan ada musibah menimpa. Tidak kira sama ada kecil atau besar musibah tersebut, ia mungkin memerlukan duit.

Kereta saya pernah sekali tiba-tiba suhunya naik dan bila dihantar ke bengkel untuk dibaiki didapati kipas sudah tidak berfungsi dan radiator juga sudah rosak dan lama. Maka, melayanglah RM600.00 saya untuk membayar kos tersebut. 

Mujur saya ada buat simpanan. Jika tidak, tersadailah kereta saya di bengkel lalu mengganggu tugas kerja saya.

Dalam hidup ini, kita kena sentiasa bersedia kerana malang sememangnya tidak berbau. Jadi, simpanlah duit anda untuk perkara-perkara kecemasan yang mungkin akan menimpa kita.

Saya berharap agar artikel ringkas saya ini dapat memberi manfaat kepada anda semua. Jika anda rasakan artikel saya bermanfaat, saya mohon agar anda dapat klik button 'Share' di bawah untuk dikongsikan dengan rakan-rakan anda pula. Mana tahu mereka turut mendapat manfaat yang sama macam anda.

Wednesday, August 13, 2014

Teknik terbaik menyimpan duit


Orang dulu-dulu menghasilkan pepatah berdasarkan perkara-perkara yang mereka alami.

Sehingga kini, banyak pepatah zaman dahulu digunakan di dalam cerita-cerita untuk dijadikan pengajaran.

Antara pepatah yang paling sesuai dijadikan pengajaran agar anda semua beramal untuk menyimpan duit ialah, 'Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit'.

Simpan sedikit pun sudah OK!

Apabila anda mendapat gaji setiap hujung bulan, perkara pertama yang sepatutnya anda lakukan ialah menyimpan duit anda.

Anda boleh simpan duit di mana-mana tempat yang anda mahu. Sama ada di bank, perlaburan amanah, insurans/ takaful dan sebagainya.

Namun hakikatnya, masih ramai yang tidak bertindak sebegitu rupa.

Jadi bagaimana hendak mengatasi masalah ini?

Jika anda tidak boleh menyimpan sewaktu anda dapat gaji, maka simpanlah duit baki yang anda dapat bagi setiap perkara yang dibelanjakan.

Contohnya, kita membeli barang di pasaraya. Apabila kita membayar dan mendapat bakinya, maka simpanlah duit itu di dalam tabung khas.

Contoh lain, jika anda makan di luar dan sewaktu membayar, anda akan dapat bakinya dan baki itulah anda akan simpan di dalam tabung.

Tak kisahlah jumlahnya 10 sen ke, 20 sen ke, 50 sen ke, asalkan anda menyimpan sudah dikira bagus.

Biarlah jumlah simpanan anda bermula sedikit, asalkan anda jadikan ia sebagai amalan.

Bak kata pepatah, 'Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit'.


Awal-awal memang nampak lesu bekas tabung anda, tetapi jika diamalkan amalan yang saya sebutkan tadi, insyaAllah tabung anda akan penuh juga nanti.

Saya juga mempunyai tabung khas untuk duit baki bagi setiap perbelanjaan yang saya buat. Saya tak sempat kira, tapi bila ditimbang tabung itu, jumlah beratnya ialah 7 kilogram!

Hmm... Agak-agak berapalah jumlah duit saya dalam tabung tu ye?

Tuesday, August 12, 2014

3 Persediaan Sebelum ...


Mati adalah satu perkara yang misteri dan tiada sesiapa di dunia ini yang mengetahui tentang tarikh kematiannya.

Ia akan datang pada bila-bila masa tanpa ada isyarat ataupun tanda-tanda. Bila ia mahu terjadi, maka akan jadilah ia.

Sebab itulah kita perlu melakukan persediaan sebelum tarikh kematian kita tiba. Tanpa disangka mungkin esok, minggu depan ataupun bulan depan akan tiba masa kita.

Jadi di sini ada disenaraikan 3 perkara yang perlu kita sediakan sebelum mati.

===




#1.  Amalan
Pastikan amalan kita kepada Allah dibuat sebanyak mungkin, bukan secukupnya. Ini kerana kita tidak tahu berapa jumlah amalan yang cukup itu.

Makin banyak amalan kita kepada Allah, semakin mudah Allah sediakan laluan untuk kita ke syurga.

Amalan kepada Allah hanya boleh dibuat apabila kita masih hidup di dunia ini sahaja. Apabila kita sudah mati, tiada amalan yang dapat kita lakukan lagi.



#2.  Hutang
Langsaikan segala hutang piutang kita. Jangan buat tak tahu dan jangan ditinggalkan begitu sahaja.

Allah sangat menitikberatkan hal hutang kepada umat Islam. Sehingga satu tahap, mereka yang mati syahid pun tidak akan mendapat ganjaran jika mempunyai hutang di dunia.

Masalah hutang ini memang sangat berat bagi manusia, tetapi ramai yang masih menganggap ia perkara kecil sahaja. 

Jadi, cuba ambil masa seketika dan fikirkan kepada siapa yang kita masih berhutang dan langsaikanlah dengan sesegera mungkin.


#3.  Harta
Sewaktu kita hidup, isteri dan anak-anak banyak bergantung kepada kita untuk mendapatkan keperluan hidup.

Makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya banyak yang disediakan oleh kita sebagai suami.

Maka, sebelum kita meninggal dunia, pastikan kita meninggalkan sejumlah simpanan yang boleh membantu isteri dan anak-anak kita dapat meneruskan kehidupan sama seperti ketika kita masih hidup.

Adalah lebih baik jika simpanan itu dapat menggantikan gaji kita yang telah hilang akibat kematian kita dan dengan itu isteri kita tidak perlu lagi bekerja untuk menyara kehidupannya dan anak-anak kita.

===

Semoga dengan perkongsian ringkas ni saya harap dapat membantu anda semua membuka mata lebih luas tentang persediaan yang harus kita ambil sebelum kita pergi berjumpa Illahi.

Jika anda rasa artikel ini sesuai dikongsikan dengan rakan anda, jangan ragu-ragu untuk klik button 'Share' di bawah ye. Semoga kita dapat manfaatnya beramai-ramai.

Monday, August 4, 2014

Biar Ibu Yang Jaga

Assalamualaikum.

 
 
Apahal aku letak gambar kek ni? Saja nak tunjuk aku baru lepas makan kek ke?

Bukan, bukan. Itu bukan tujuan aku upload gambar kek ni.

Tiada apa yang istimewa pada kek ni. Sedap memang sedap, tapi ia sama je macam kek buah yang lain.
Kek ni tak istimewa, tapi yang istimewanya ialah kisah disebalik kewujudan kek ni.

Kek ni dihasilkan oleh seorang mak cik yang duduk di Johor.

Nak tau kenapa mak cik ni buat kek?

Sebab dia nak tolong anak dia. Kenapa dia nak tolong anak dia?

Menurut abah aku, anak dia adalah bekas pemain ragbi sekolah dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.

Dia ni memang seorang pemain ragbi yang bagus dan sentiasa mempamerkan permainan yang baik.

Tapi, sesungguhnya perancangan Allah tu lagi baik.

"Masa tengah buat scrum, tiba-tiba dia pengsan sebab oksigen tak cukup untuk sampai ke otak. Dan sampai sekarang dia lumpuh."

 
Itulah yang diberitahu oleh abang aku yang juga bekas pelajar STAR Ipoh ni.

Oleh kerana tidak cukup bekalan oksigen untuk ke otak, anak mak cik ni akhirnya lumpuh sehingga kini. Abang aku cakap dia ni student STAR batch 89 kot, takpun 91.

Abang aku bagitau lagi, dulu player ragbi sekolah ni takde insurans, tak macam sekarang. Kalau ada musibah berlaku masa game, player akan dibayar pampasan daripada pihak insurans.

Demi kasih sayang kepada anaknya ini, mak cik ni memulakan perusahaan membuat kek buah secara kecil-kecil untuk menanggung anaknya yang lumpuh ni.

Anak dia memang lumpuh habis satu badan. Kencing pun pakai tiub. Kesian.

Mak cik ni jaga anak dia ni dengan anak dia lagi sorang, iaitu kakak kepada bekas budak STAR ni.

Sampai bila mak cik ni dapat jaga anak dia yang lumpuh ni pun aku tak pasti. Yelah, mak cik ni pun dah berumur kan.

Cuma bapak aku ada cakap, anak mak cik yang lumpuh ni ada kawan-kawan yang baik, selalu melawat dia.

Mungkin jika suatu hari Allah jemput mak cik ni pergi dulu, aku harap ada kawan-kawan dia sudi tolong.

Tapi apa yang aku nak sampaikan di sini ialah cuba lihat betapa hebatnya kuasa kasih sayang seorang mak. Di kala usianya sudah semakin lanjut, mak cik ni tetap berusaha bekerja demi anaknya yang lumpuh.

Memang tak terbalas langsunglah jasa seorang mak ni. Dia punya jasa ni macam lautan dia punya luas. Takde penghujung.

Di kala mak kita masih ada ni, adakah kita menghargai jasa-jasa mak kita?

Jom renung-renungkan bersama ye kawan-kawan. Ini sebagai peringatan kita bersama-sama ye.