Thursday, August 14, 2014

3 salah faham tentang menyimpan duit

Simpan duit, simpan duit, simpan duit.

Semasa saya kecil, ibu saya selalu berpesan menyuruh saya menyimpan duit supaya saya dapat gunakan ia pada waktu yang diperlukan.

Kadangkala saya simpan, kadangkala tidak. Ada waktu saya simpan duit sebab nak beli komik kegemaran saya iaitu 'Mutiara Naga' atau lebih dikenali sebagai 'Dragon Ball'.

Di sini saya ingin memberitahu kepada anda semua 3 salah faham tentang menyimpan duit.

Salah faham ini sering berlaku kepada sesiapa sahaja di luar sana termasuk anda.


Salah faham pertama: Belanja dulu baru simpan

Inilah adalah kesilapan biasa yang sering manusia lakukan. Apabila dapat gaji, mereka akan belanjakannya dahulu dan jika ada lebih baru mereka simpan.

Itu pun jika ada lebih, jika tidak ada lebih bagaimana? Pasti simpanan tidak dapat dilakukan langsung.

Jadi, anda sepatutnya menyimpan dahulu sebahagian duit gaji anda sebelum dibelanjakan. Selepas membuat simpanan, maka anda boleh belanjakan kesemua baki duit gaji anda.


Salah faham kedua: Tunggu gaji naik

Inipun salah satu salah faham yang sudah menjadi kelaziman pada semua manusia.

Nak tunggu gaji naik baru nak buat simpanan.

Sebenarnya, apabila gaji naik, selera membeli anda juga bertambah. Jadi itu tetap membuatkan gaji anda sentiasa tidak cukup untuk menyimpan walaupun gaji anda naik.

Sebaiknya, anda disiplinkan diri anda untuk menyimpan bermula dari sekarang dan bukan tunggu gaji naik. Disiplinkan diri walaupun dengan gaji yang kecil.


Salah faham ketiga: Nantilah. Semuanya ok

Semuanya ok la, takkan jadi apa-apa la.

Ramai orang yang tidak menyimpan duit kerana mereka menganggap semua perkara akan berjalan lancar dan tidak akan timbul masalah.

Siapalah kita nak tentukan semuanya akan berjalan lancar, lambat laun pasti akan ada musibah menimpa. Tidak kira sama ada kecil atau besar musibah tersebut, ia mungkin memerlukan duit.

Kereta saya pernah sekali tiba-tiba suhunya naik dan bila dihantar ke bengkel untuk dibaiki didapati kipas sudah tidak berfungsi dan radiator juga sudah rosak dan lama. Maka, melayanglah RM600.00 saya untuk membayar kos tersebut. 

Mujur saya ada buat simpanan. Jika tidak, tersadailah kereta saya di bengkel lalu mengganggu tugas kerja saya.

Dalam hidup ini, kita kena sentiasa bersedia kerana malang sememangnya tidak berbau. Jadi, simpanlah duit anda untuk perkara-perkara kecemasan yang mungkin akan menimpa kita.

Saya berharap agar artikel ringkas saya ini dapat memberi manfaat kepada anda semua. Jika anda rasakan artikel saya bermanfaat, saya mohon agar anda dapat klik button 'Share' di bawah untuk dikongsikan dengan rakan-rakan anda pula. Mana tahu mereka turut mendapat manfaat yang sama macam anda.

No comments:

Post a Comment