Monday, March 9, 2015

7 Perkara Yang Anda Patut Tahu Sebelum Memiliki Takaful


Kebanyakan daripada kita membuat sesuatu keputusan berkaitan pemilikan takaful adalah disebabkan pengaruh atau pujukan yang sebenarnya tak membantu kewangan kita.

Kesannya, jika kita ditimpa musibah, maka duit gantirugi yang diterima tidak cukup untuk kita mahupun keluarga meneruskan hidup dengan selesa, sama seperti sebelum kita ditimpa musibah.

Maka, atas sebab itulah, saya mahu kongsikan kepada anda 7 perkara yang patut kita tahu sebelum membuat keputusan untuk memiliki takaful hayat.

1. Reviu keperluan takaful anda
Berjumpalah dengan mana-mana konsultan takaful yang anda percaya dan mintalah mereka bantu anda untuk menentukan polisi takaful yang bersesuaian dengan keperluan anda.

2. Tentukan berapa jumlah perlindungan yang anda perlukan
Berapa pendapatan anda sekarang? Siapa yang bergantung kepada pendapatan anda? Bagaimana keluarga anda nak dapatkan duit perbelanjaan dan melangsaikan hutang apabila anda sudah tiada?

Berdasarkan soalan-soalan inilah, anda boleh tentukan berapa jumlah perlindungan yang patut anda miliki. Selain itu, anda juga boleh putuskan berapakan jumlah caruman yang anda mampu bayar agar perlindungan yang anda ada boleh selesaikan masalah yang disebutkan di dalam soalan-soalan di atas.

3. Nilai semula polisi takaful semasa anda
Jika anda sudah memiliki polisi takaful, mungkin anda patut menilainya semula agar ia bersesuaian dengan kedudukan kewangan anda sekarang. Contohnya, jika polisi takaful semasa anda diambil ketika gaji anda RM2000, tetapi kini gaji anda sudah meningkat menjadi RM5000, maka anda patut menilai polisi anda semula.

4. Pastikan anda mampu membayar caruman takaful
Pilihlah caruman takaful di dalam kadar yang anda mampu bayar tetapi pada masa yang sama boleh melindungi kewangan anda andainya ditimpa musibah.

5. Ketahui penjanaan tunai dalam simpanan takaful anda
Minta ejen takaful yang anda jumpa untuk tunjukkan ilustrasi penjanaan tunai dalam simpanan takaful agar anda boleh ketahui segala caj yang dikenakan dan juga jumlah simpanan terkumpul.

6. Simpan polisi semasa anda
Jika anda berhasrat untuk mengambil perlindungan takaful yang baru, jangan terus membatalkan polisi lama anda kerana proses polisi takaful yang baru akan mengambil sedikit masa untuk disiapkan. Andainya sesuatu terjadi kepada anda dan polisi lama sudah dibatalkan dan yang baru belum siap, anda tidak akan dapat satu manfaat pun daripada syarikat takaful.

7. Fahami segala info sebelum bertindak menandatangani borang
Pastikan anda faham segala info yang diberikan oleh ejen anda. Jika tidak faham, tanya ejen anda semula. Anda berhak untuk ketahui semua info tentang takaful.