Showing posts with label my personal life. Show all posts
Showing posts with label my personal life. Show all posts

Thursday, August 14, 2014

3 salah faham tentang menyimpan duit

Simpan duit, simpan duit, simpan duit.

Semasa saya kecil, ibu saya selalu berpesan menyuruh saya menyimpan duit supaya saya dapat gunakan ia pada waktu yang diperlukan.

Kadangkala saya simpan, kadangkala tidak. Ada waktu saya simpan duit sebab nak beli komik kegemaran saya iaitu 'Mutiara Naga' atau lebih dikenali sebagai 'Dragon Ball'.

Di sini saya ingin memberitahu kepada anda semua 3 salah faham tentang menyimpan duit.

Salah faham ini sering berlaku kepada sesiapa sahaja di luar sana termasuk anda.


Salah faham pertama: Belanja dulu baru simpan

Inilah adalah kesilapan biasa yang sering manusia lakukan. Apabila dapat gaji, mereka akan belanjakannya dahulu dan jika ada lebih baru mereka simpan.

Itu pun jika ada lebih, jika tidak ada lebih bagaimana? Pasti simpanan tidak dapat dilakukan langsung.

Jadi, anda sepatutnya menyimpan dahulu sebahagian duit gaji anda sebelum dibelanjakan. Selepas membuat simpanan, maka anda boleh belanjakan kesemua baki duit gaji anda.


Salah faham kedua: Tunggu gaji naik

Inipun salah satu salah faham yang sudah menjadi kelaziman pada semua manusia.

Nak tunggu gaji naik baru nak buat simpanan.

Sebenarnya, apabila gaji naik, selera membeli anda juga bertambah. Jadi itu tetap membuatkan gaji anda sentiasa tidak cukup untuk menyimpan walaupun gaji anda naik.

Sebaiknya, anda disiplinkan diri anda untuk menyimpan bermula dari sekarang dan bukan tunggu gaji naik. Disiplinkan diri walaupun dengan gaji yang kecil.


Salah faham ketiga: Nantilah. Semuanya ok

Semuanya ok la, takkan jadi apa-apa la.

Ramai orang yang tidak menyimpan duit kerana mereka menganggap semua perkara akan berjalan lancar dan tidak akan timbul masalah.

Siapalah kita nak tentukan semuanya akan berjalan lancar, lambat laun pasti akan ada musibah menimpa. Tidak kira sama ada kecil atau besar musibah tersebut, ia mungkin memerlukan duit.

Kereta saya pernah sekali tiba-tiba suhunya naik dan bila dihantar ke bengkel untuk dibaiki didapati kipas sudah tidak berfungsi dan radiator juga sudah rosak dan lama. Maka, melayanglah RM600.00 saya untuk membayar kos tersebut. 

Mujur saya ada buat simpanan. Jika tidak, tersadailah kereta saya di bengkel lalu mengganggu tugas kerja saya.

Dalam hidup ini, kita kena sentiasa bersedia kerana malang sememangnya tidak berbau. Jadi, simpanlah duit anda untuk perkara-perkara kecemasan yang mungkin akan menimpa kita.

Saya berharap agar artikel ringkas saya ini dapat memberi manfaat kepada anda semua. Jika anda rasakan artikel saya bermanfaat, saya mohon agar anda dapat klik button 'Share' di bawah untuk dikongsikan dengan rakan-rakan anda pula. Mana tahu mereka turut mendapat manfaat yang sama macam anda.

Wednesday, August 13, 2014

Teknik terbaik menyimpan duit


Orang dulu-dulu menghasilkan pepatah berdasarkan perkara-perkara yang mereka alami.

Sehingga kini, banyak pepatah zaman dahulu digunakan di dalam cerita-cerita untuk dijadikan pengajaran.

Antara pepatah yang paling sesuai dijadikan pengajaran agar anda semua beramal untuk menyimpan duit ialah, 'Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit'.

Simpan sedikit pun sudah OK!

Apabila anda mendapat gaji setiap hujung bulan, perkara pertama yang sepatutnya anda lakukan ialah menyimpan duit anda.

Anda boleh simpan duit di mana-mana tempat yang anda mahu. Sama ada di bank, perlaburan amanah, insurans/ takaful dan sebagainya.

Namun hakikatnya, masih ramai yang tidak bertindak sebegitu rupa.

Jadi bagaimana hendak mengatasi masalah ini?

Jika anda tidak boleh menyimpan sewaktu anda dapat gaji, maka simpanlah duit baki yang anda dapat bagi setiap perkara yang dibelanjakan.

Contohnya, kita membeli barang di pasaraya. Apabila kita membayar dan mendapat bakinya, maka simpanlah duit itu di dalam tabung khas.

Contoh lain, jika anda makan di luar dan sewaktu membayar, anda akan dapat bakinya dan baki itulah anda akan simpan di dalam tabung.

Tak kisahlah jumlahnya 10 sen ke, 20 sen ke, 50 sen ke, asalkan anda menyimpan sudah dikira bagus.

Biarlah jumlah simpanan anda bermula sedikit, asalkan anda jadikan ia sebagai amalan.

Bak kata pepatah, 'Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit'.


Awal-awal memang nampak lesu bekas tabung anda, tetapi jika diamalkan amalan yang saya sebutkan tadi, insyaAllah tabung anda akan penuh juga nanti.

Saya juga mempunyai tabung khas untuk duit baki bagi setiap perbelanjaan yang saya buat. Saya tak sempat kira, tapi bila ditimbang tabung itu, jumlah beratnya ialah 7 kilogram!

Hmm... Agak-agak berapalah jumlah duit saya dalam tabung tu ye?

Tuesday, August 12, 2014

3 Persediaan Sebelum ...


Mati adalah satu perkara yang misteri dan tiada sesiapa di dunia ini yang mengetahui tentang tarikh kematiannya.

Ia akan datang pada bila-bila masa tanpa ada isyarat ataupun tanda-tanda. Bila ia mahu terjadi, maka akan jadilah ia.

Sebab itulah kita perlu melakukan persediaan sebelum tarikh kematian kita tiba. Tanpa disangka mungkin esok, minggu depan ataupun bulan depan akan tiba masa kita.

Jadi di sini ada disenaraikan 3 perkara yang perlu kita sediakan sebelum mati.

===




#1.  Amalan
Pastikan amalan kita kepada Allah dibuat sebanyak mungkin, bukan secukupnya. Ini kerana kita tidak tahu berapa jumlah amalan yang cukup itu.

Makin banyak amalan kita kepada Allah, semakin mudah Allah sediakan laluan untuk kita ke syurga.

Amalan kepada Allah hanya boleh dibuat apabila kita masih hidup di dunia ini sahaja. Apabila kita sudah mati, tiada amalan yang dapat kita lakukan lagi.



#2.  Hutang
Langsaikan segala hutang piutang kita. Jangan buat tak tahu dan jangan ditinggalkan begitu sahaja.

Allah sangat menitikberatkan hal hutang kepada umat Islam. Sehingga satu tahap, mereka yang mati syahid pun tidak akan mendapat ganjaran jika mempunyai hutang di dunia.

Masalah hutang ini memang sangat berat bagi manusia, tetapi ramai yang masih menganggap ia perkara kecil sahaja. 

Jadi, cuba ambil masa seketika dan fikirkan kepada siapa yang kita masih berhutang dan langsaikanlah dengan sesegera mungkin.


#3.  Harta
Sewaktu kita hidup, isteri dan anak-anak banyak bergantung kepada kita untuk mendapatkan keperluan hidup.

Makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya banyak yang disediakan oleh kita sebagai suami.

Maka, sebelum kita meninggal dunia, pastikan kita meninggalkan sejumlah simpanan yang boleh membantu isteri dan anak-anak kita dapat meneruskan kehidupan sama seperti ketika kita masih hidup.

Adalah lebih baik jika simpanan itu dapat menggantikan gaji kita yang telah hilang akibat kematian kita dan dengan itu isteri kita tidak perlu lagi bekerja untuk menyara kehidupannya dan anak-anak kita.

===

Semoga dengan perkongsian ringkas ni saya harap dapat membantu anda semua membuka mata lebih luas tentang persediaan yang harus kita ambil sebelum kita pergi berjumpa Illahi.

Jika anda rasa artikel ini sesuai dikongsikan dengan rakan anda, jangan ragu-ragu untuk klik button 'Share' di bawah ye. Semoga kita dapat manfaatnya beramai-ramai.

Monday, August 4, 2014

Biar Ibu Yang Jaga

Assalamualaikum.

 
 
Apahal aku letak gambar kek ni? Saja nak tunjuk aku baru lepas makan kek ke?

Bukan, bukan. Itu bukan tujuan aku upload gambar kek ni.

Tiada apa yang istimewa pada kek ni. Sedap memang sedap, tapi ia sama je macam kek buah yang lain.
Kek ni tak istimewa, tapi yang istimewanya ialah kisah disebalik kewujudan kek ni.

Kek ni dihasilkan oleh seorang mak cik yang duduk di Johor.

Nak tau kenapa mak cik ni buat kek?

Sebab dia nak tolong anak dia. Kenapa dia nak tolong anak dia?

Menurut abah aku, anak dia adalah bekas pemain ragbi sekolah dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.

Dia ni memang seorang pemain ragbi yang bagus dan sentiasa mempamerkan permainan yang baik.

Tapi, sesungguhnya perancangan Allah tu lagi baik.

"Masa tengah buat scrum, tiba-tiba dia pengsan sebab oksigen tak cukup untuk sampai ke otak. Dan sampai sekarang dia lumpuh."

 
Itulah yang diberitahu oleh abang aku yang juga bekas pelajar STAR Ipoh ni.

Oleh kerana tidak cukup bekalan oksigen untuk ke otak, anak mak cik ni akhirnya lumpuh sehingga kini. Abang aku cakap dia ni student STAR batch 89 kot, takpun 91.

Abang aku bagitau lagi, dulu player ragbi sekolah ni takde insurans, tak macam sekarang. Kalau ada musibah berlaku masa game, player akan dibayar pampasan daripada pihak insurans.

Demi kasih sayang kepada anaknya ini, mak cik ni memulakan perusahaan membuat kek buah secara kecil-kecil untuk menanggung anaknya yang lumpuh ni.

Anak dia memang lumpuh habis satu badan. Kencing pun pakai tiub. Kesian.

Mak cik ni jaga anak dia ni dengan anak dia lagi sorang, iaitu kakak kepada bekas budak STAR ni.

Sampai bila mak cik ni dapat jaga anak dia yang lumpuh ni pun aku tak pasti. Yelah, mak cik ni pun dah berumur kan.

Cuma bapak aku ada cakap, anak mak cik yang lumpuh ni ada kawan-kawan yang baik, selalu melawat dia.

Mungkin jika suatu hari Allah jemput mak cik ni pergi dulu, aku harap ada kawan-kawan dia sudi tolong.

Tapi apa yang aku nak sampaikan di sini ialah cuba lihat betapa hebatnya kuasa kasih sayang seorang mak. Di kala usianya sudah semakin lanjut, mak cik ni tetap berusaha bekerja demi anaknya yang lumpuh.

Memang tak terbalas langsunglah jasa seorang mak ni. Dia punya jasa ni macam lautan dia punya luas. Takde penghujung.

Di kala mak kita masih ada ni, adakah kita menghargai jasa-jasa mak kita?

Jom renung-renungkan bersama ye kawan-kawan. Ini sebagai peringatan kita bersama-sama ye.


Monday, June 23, 2014

Melabur untuk akhirat.

Assalamualaikum.
 
Semalam agak kepenatan selepas satu hari bertungkus lumus menyiapkan surau sementara kat taman aku ni. Proses pembinaan surau sementara bermula seawal 7 pagi.

Satu pengalaman yang sangat baru bagi aku. Sebelum ni, aku duduk mana-mana taman, surau memang dah siap tersedia dah. Tapi bila masuk taman baru ni, tapak je ada, surau belum ada.

Yelah, dulu masa aku kecik, takkan tiba-tiba nak libatkan diri dalam pembinaan surau kan? Dah tentu aku lebih gemar bermain bola bersama kawan-kawan ataupun layan micro genius yang baru 2 bulan beli dah barai. Budak-budaklah katakan.

Jadi, dengan menggunakan modal yang ada yang dikutip dari penduduk yang baru berapa kerat je duduk kat taman aku ni berserta tenaga manusia lebih kurang dalam 10 orang, operasi pembinaan pun dimulakan.

Aku pegang posisi sebagai pembancuh simen. Alhamdulillah, ada sorang brader ni dapat pinjam pembancuh simen daripada kawan dia, senang sikit kerja kitorang. Kalau tak mau patah pinggang bancuh simen secara manual.

Aku tak pernah pun bergelumang dengan simen sebelum ni. Jadi, sukatan bancuhan simen dan pasir tu memang tak reti. Mujur ada sorang brader ni lagi kerja sebagai kontraktor.

"Macam mana nak bancuh ni bro?"
 
"Simen guna 3 skop je."

"Pasir lak?"

"Sesedap mata. Jangan kelabu gelap sangat, jangan kelabu cerah sangat."

"Oh."

Puk, pak, puk, pak. Dipendekkan cerita. Surau sementara pun siap dibina akhirnya. Kitorang buat lantai je sebenarnya. Dinding guna kain kanvas je. Bajet tak cukuplah katakan. Tapi lebih baik ada daripada takde kan?

Semalam pun Allah bagi cuaca elok, alhamdulillah. Panas tak, hujan pun tak. Sedap-sedap kulit je.

Syukur sangat-sangat sebab dapat berkhidmat untuk komuniti penduduk taman aku ni. Dengan terbinanya surau sementara ni dapatlah tambah perlaburan akhirat aku. Selagi ia digunakan, selagi tu lah ada pahala free masuk. Nak juga aku toreh kat lantai simen tu "Izwan yang bancuh simen ni." Tapi risau jadi takbur lak, aku batalkan niat aku tu.

Ni lah dua keping gambar yang sempat aku ambik. Tak dan ambik banyak-banyak sebab tangan penuh simen. Balik rumah, dah mandi pun, simen takleh hilang. Keras beb tangan aku. Tak mungil dah kulit aku.

Terima kasih Allah kerana masih beri aku kesempatan untuk membina rumahMu.

P/s: Ada ustaz kabor dah macam surau yang dibina awal-awal pada zaman Nabi.


Tuesday, April 8, 2014

Cara Paling Ulung Menjadi Manusia Hebat

Alhamdulillah. Hari ni dah masuk hari kedua aku berkursus di Kuala Lumpur.

Alhamdulillah juga sebab aku dihantar ke kursus yang diberi nama 'Pedagogi Kasih Sayang' ni.

Dalam kursus ini aku dan peserta lain dikongsikan satu sistem pelajaran yang sangat hebat dan sangat lengkap berbanding sistem pelajaran yang sedia ada sekarang ini.

Penceramah kursus ini atau lebih suka dipanggil sebagai Bro Hasni Mohammed (CEO Sekolah Islam Adni) sedang mengongsikan satu sistem pelajaran yang telah dikajinya selama 30 tahun dan dia temui bahawa sistem ini adalah paling efektif dan efisien.

Bro telah menunjukkan beberapa produk yang telah dihasilkan oleh sistem ini. Pelajar-pelajar atau produk-produk yang dihasilkan daripada sistem ini telah membantu mereka mendapat ijazah sarjana dan Phd pada usia hanya belasan tahun sahaja.

Bukan seorang dua yang memiliki ijazah sarjana atau Phd pada usia yang cukup muda, tetapi bilangannya telah mencecah belasan orang. Jadi ini terbukti bahawa pelajar-pelajar yang ada ini bukanlah seorang yang genius, tetapi ia lahir hasil dari sistem pelajaran ini.

Selain mendapat pengikitirafan yang tinggi dari segi akademik, pelajar-pelajar ini juga dibina sahsiah dan akhlaknya dengan begitu baik hasil menggunakan sistem pelajaran ini.

Ramai pelajar daripada sistem ini dengan sukarelanya dan dengan suka hatinya sudi mengorbankan masa dan tenaga untuk melakukan kebajikan di negara-negara yang sedang menghadapi masalah.

Tanpa perlu dipaksa untuk menyertai mana-mana misi kebajikan, pelajar-pelajar hasil sistem pelajaran ini sanggup menempuhi kesusahan demi membantu orang-orang yang berada dalam kesusahan.

Apakah sistem pelajaran yang digunakan untuk melahirkan jawapan sebegini rupa?

Sebenarnya ia telah disebutkan oleh Nabi Muhammad S.A.W sendiri bahawa apabila kita berpegang kepada dua perkara ini, nescaya kita selamat dunia dan akhirat.

Apakah dia 2 perkara itu?

Itulah Al-Quran dan sunnah.

Sistem pelajaran yang berlandaskan Al-Quran dan sunnah inilah yang telah membantu melahirkan pelajar-pelajar yang bijak dan terpuji akhlaknya.

Subhanallah. 

Jika selama ini kita sering melupakan dua sumber ilmu yang paling ulung ini, apa kata kita berpatah balik dari jalan yang salah dan ayuhlah kembali ke jalan yang lurus lagi benar ini.

Jadikanlah Al-Quran dan sunnah ini seperti dahan untuk kita berpaut. Jika dilepaskan kita jatuh, jika berpegang padanya pasti kita selamat.

Semoga perkongsian ilmu yang panjang lebar ini mampu memberi manfaat kepada semua sahabat yang membaca blog aku ni. InsyaAllah.

Monday, March 17, 2014

Menjadi Penjual Yang Kreatif.

Apabila korang nak membeli atau menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan, pernah tak korang membuat suatu perbandingan antara produk-produk atau servis-servis yang sedia ada dalam pasaran?

Aku percaya korang mesti buat macam tu sebab korang mahukan produk atau servis yang terbaik dan berbaloi dengan duit yang korang keluarkan.

Sebenarnya, bukan korang je yang membuat perbandingan tentang sesuatu produk atau servis, peniaga-peniaga pun turut membuat perbandingan di antara produk atau servis mereka dengan produk atau servis para pesaingnya.

Penjual Kreatif


Menurut Brian Tracy dalam bukunya 'The Psychology of Selling', untuk menjadi seorang penjual yang kreatif, seseorang penjual itu haruslah mengetahui apakah perkara yang ditawarkan dalam produk atau servis syarikatnya yang tiada pada produk atau servis syarikat pesaingnya.

Seseorang penjual itu haruslah bertanyakan kepada diri sendiri dua soalan ini untuk membantu menjadikan produk/servis syarikatnya lebih hebat daripada syarikat lain: 

1.  Apakah keunikan produk/servis yang syarikatnya miliki?
2.  Dalam cara bagaimanakah produk/servis syarikatnya lebih hebat daripada pesaing lain dalam pasaran?

Apabila seseorang penjual itu dapat menjawab soalan ini secara jelas dan teliti, ia dapat membantu seorang penjual itu menjadi lebih kreatif untuk mendapatkan prospek dan seterusnya menjual produk/servis milik syarikatnya.

Membezakan Produk/Servis


Brian Tracy juga turut menekankan bahawa seorang penjual yang kreatif adalah orang yang mampu membezakan produk/servis syarikatnya denngan syarikat pesaingnya.

Pembezaan itu boleh diketahui apabila penjual menggunakan soalan-soalan berikut:

1.  Apakah yang menyebabkan produk/servis syarikatnya lebih hebat berbanding produk/servis syarikat pesaingnya?

2.  Apakah manfaat istimewa yang ada pada produk/servis syarikatnya untuk pelanggan yang tiada pada produk/servis syarikat lain?

3.  Dalam bahagian apakah produk/servis syarikatnya 90% lebih bagus berbanding produk/servis yang sama dalam pasaran?

Dengan soalan-soalan ini, ia dapat membantu seseorang penjual menemui perbezaan yang ada pada produk/servis syarikatnya dengan produk/servis syarikat pesaingnya di mana ia dapat membantu penjual mengenalpasti kelemahan dan kelebihan syarikat pesaing-pesaingnya.

Seseorang penjual haruslah bijak membuat perbandingan antara produk/servis syarikatnya dengan syarikat pesaing supaya ia dapat memberi keuntungan yang maksima kepada syarikatnya.

Perbandingan Baik vs Perbandingan Tidak Baik


Selain itu, dengan melakukan perbandingan yang baik, ia dapat membantu pelanggan membuat keputusan yang tepat dan berbaloi dengan duit yang dikeluarkan oleh pelanggan.

Apabila seseorang penjual melakukan perbandingan antara produk/servis syarikatnya dengan syarikat pesaing tidak bermakna ia berkata sesuatu yang buruk tentang syarikat pesaingnya.

Berkata sesuatu yang buruk tentang syarikat pesaing dan membuat perbandingan yang baik mempunya perbezaan yang sangat ketara. Contohnya:

> Perbandingan yang baik : Syarikat Takaful ABC memberi perlindungan perubatan tanpa had sehingga umur 80 tahun manakala Syarikat Takaful DEF memberi perlindungan perubatan sehingga RM2 juta sehingga umur 80 tahun.

> Perbandingan yang tidak baik (berkata buruk) : Dengan Syarikat Takaful ABC, anda akan mendapat tuntutan dengan segera manakala Syarikat Takaful DEF selalu lambat dalam urusan tuntutan.

Biasanya, perbandingan yang baik ini dilakukan menggunakan fakta-fakta sedia ada dan bukti yang kukuh. Manakala perbandingan yang tidak baik atau berkata buruk tentang syarikat pesaing biasanya dilakukan tanpa ada fakta atau bukti yang kukuh.

Jadi, tidak salah jika kita sebagai seorang penjual ingin membuat perbandingan dengan syarikat pesaing kita kerana ia membantu kita menjadi seorang penjual yang kreatif.

Oleh itu, buatlah perbandingan secara bijak dan baik dan elakkanlah daripada berkata buruk atau memfitnah syarikat pesaing kerana sesungguhnya cara ini akan merugikan kita kembali.

Wednesday, February 26, 2014

Laa... Patutlah Sikit.

Tadi masa nak pergi beli cat, ada member panggil aku nak tanya pasal takaful. So aku luangkanlah masa sekejap untuk dengar apa dia nak cakap.

"Weh, aku ingat nak tukar takaful la, nak amik MAA la."

"Eh, bukan ko dah ada dengan company X takaful ke?"

"Memang la, tapi aku rasa benefit MAA ni lagi bagus kot."

"Apa benefit yang ko kata bagus tu?"

"Entahlah, tapi aku rasa benefit medical card dia lagi bagus la."

"Oh yeke? Life takaful ko dengan company X ni berapa coverage dia?"

"RM625 ribu bro."

"Eh, banyaknya. Ko bayar berapa bulan-bulan berapa?"

"Dalam RM200 gak la, sekali medical card."

"RM200 sebulan, boleh dapat RM625 ribu sekali medical card, ko biar betul?"

Pastu member aku pun tunjuk polisi yang kebetulan dia bawak bersama. Aku pun tolong semak sekali.

"Ha, ni dia tulis lifetime limit RM625 ribu."

"Bro, ini bukan coverage life takaful bro, ni lifetime limit medical card ko, sampai RM625 ribu je bro. Coverage life takaful ko mana?"




Pastu aku dengan dia belek lagi polisi dia dan kami jumpa juga apa yang kami cari dan hasil penemuan kami adalah sangat mengejutkan. Patutlah member aku bayar RM200 sebulan boleh dapat medical card lifetime limit RM625 ribu, rupa-rupanya coverage untuk life takaful dia hanyalah...

RM20 ribu je.

Hadoi, hadoi... Aku cakap kat member aku tu, RM20 ribu ni kalau ko mati, boleh support wife dengan anak ko dalam 6 bulan je, lepas tu pandai-pandailah wife ko cari duit lebih sendiri.

Aku pun bagitaulah dia, cara betul nak ambil life takaful ni ialah ambil coverage yang boleh ganti gaji tahunan ko. Ini cara yang sangat efisien dan efektif, bukan main bedal je ambik, sekali tengok-tengok tak cukup. Kesian isteri dengan anak ko nanti.

"Kalau macam tu, ko kirakan untuk aku nanti boleh?"

"Boleh, takdehal punya. Tapi sekarang aku nak pergi beli cat jap. Kalau ko rajin, download ebook Celik Wang dalam website AKPK, kat situ ada ajar cara ambil insurans/takaful yang betul."

"Ok bro."

Hei, mujur member aku ni jumpa aku, kalau tak sia-sia je ada coverage, tapi tak cukup. So kepada kawan-kawan yang lain, mintak cek balik coverage takaful korang, jangan asal ada, sebab ia takkan dapat selesaikan masalah utama korang iaitu KEHILANGAN PENDAPATAN akibat 3 perkara ini iaitu KEMATIAN/HILANG UPAYA MENYELURUH/SAKIT KRITIKAL.

Semoga perkongsian membawa manfaat kepada kawan-kawan semua. InsyaAllah.

Monday, February 3, 2014

Jaga Bernama Alex



Semalam masa aku tunggu kontaktor ukur segala pintu dan tingkap kat rumah aku, datanglah sorang jaga yang kawal keselamatan kat taman tempat yang aku bakal tinggal ni.

"Dato, apa khabar, sihat ke?"

Jaga ni suka betul panggil aku dato', so aku aminkan jela, "Sihat je Alex. You macam mana, sihat ke?"

"Ok je. Ukur grill ye?"

"Yup. Mau pasang nanti."

"Dato', kita kasi lawan harga mau? Siapa paling rendah, you ambillah."

Eh, si Alex ni ajak lawan harga lak. Padahal aku dah ambik dengan kawan aku ni. "Eh, takpelah Alex, saya sudah ambil dengan kawan saya."

"Itu macam ke? Takpelah dato'. Sori ya dato', saya bukan mau kacau periuk nasi orang, tapi buat satu kerja saja zaman sekarang tak cukup la."

Alex dan wang

Ok, ni nak masuk isu menarik ni, isu kewangan. Jadi aku pun mula bertany sebab salah satu cara nak belajar pengurusan kewangan ialah melalui pengalaman. Jadi jom dengar cerita jaga ni.

"Tak cukup, apasal tak cukup Alex?"

"Yela dato'. Sekarang ni pun you tengok, barang-barang sudah naik harga, anak-anak lagi mau sekolah. Sorang sudah masuk universiti tau dato', banyak mau pakai duit."

"Betul tu Alex. So macam mana you mau kasi cukup belanja?"

"Saya buat part-time job la dato'. Ini pasang grill part-time job saya la dato'"

Alex, seorang jaga. Disebabkan gaji tak cukup dia terpaksa kerja part-time demi menampung perbelanjaan keluarga dan anak-anak yang bersekolah dan di universiti.

Alex memang seorang ayah yang baik. Dia sanggup kerja lebih masa dan tidak mengharapkan gaji pada satu kerja sahaja. Nak tak nak dia terpaksa buat part time demi keluarga dia.

Alex dan insurans

"Alex, you sanggup kerja part-time sebab tak cukup duit untuk perbelanjaan keluarga. Jadi I nak tanya you. Dalam you tak cukup duit ni, you ambik insurans tak?"

Alex pandang tepat ke mata aku, pastu aku pun pandang dia juga. Kemudian Alex cakap, "Dato', insurans ni sangat penting bagi saya, and yes, I have insurance."

"Berapa premium you bayar bulan-bulan?"

"RM200 dato'."

"Huyoo! Tinggi tu. Dengan belanja tak cukup, you sanggup ambil insurans bayar mahal-mahal. Kenapa?"

"Dato', saya ada pengalaman kawan saya sendiri pasal insurans ni. Dia kerja kat Power Plant TNB Manjung. Dia pun ada insurans. Tapi satu hari, dia tak dapat bayar premium pasal duit tak cukup, so dia berhenti bayar jap dan insurans dia lapsed."

"Lepas tu apa jadi Alex?"

"Lepas dua hari insurans dia lapsed, dia accident dan bila nak guna medical card tak boleh dah pasal dah lapsed. Nak tak nak dia terpaksa tanggung belanja hospital yang cecah puluh-puluh ribu ringgit tau dato'."

"Yeke, kesian kawan you. So pasal ni ke you ambil insurans?"

"Dato', life is unexpected la dato'. Today you ok, but tomorrow you never know. So, itu pasal saya ambil juga insurans ni walaupun mahal."

Alex dan pilihan


"Ok Alex, saya mau tanya. Kalau you ada masalah kekurangan duit, mana yang yang you pilih untuk kurangkan belanja, bayaran premium insurans, atau perbelanjaan lain?"

Alex diam sekejap, berfikir untuk berikan jawapan.

"Kalau saya la kan dato', kalau biasa saya dan family makan 3kg beras, saya akan kurangkan jadi 1kg beras sebulan kalau tak cukup duit. Tapi saya takkan sesekali stop bayar premium insurans saya."

Alex sambung lagi, "Kalau tak cukup duit waktu saya ada, saya tak kisah sangat sebab saya boleh kerja lagi untuk cari duit. Tapi kalau saya dah takde, saya tak bayar premium insurans dan buat polisi lapsed, kalau saya sudah mati, mesti saya tak dapat pampasan. Lepas tu siapa mau bagi family saya makan kan? Jadi saya nak, bila saya mati, saya ada tinggal banyak duit untuk family saya."

Wow, terkejut aku dengar jawapan jaga yang bernama Alex ni. Jarang sangat aku jumpa orang jenis macam ni. Satu pengalaman yang menarik.

Memang waktu kita ada, kita akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan perbelanjaan keluarga kita mencukupi. Tapi macam mana waktu kita sudah tiada nanti, siapa pula yang nak tanggung perbelanjaan keluarga kita nanti.

So, aku tinggalkan korang dengan kesimpulan yang korang boleh buat sendiri berdasarkan jawapan Alex di atas.

Selamat merancang kewangan korang.

Thursday, January 30, 2014

Rancang dan Senang


Pada hari Sabtu yang lepas ada seorang kenalan FB mesej aku. Dia nak tanya pasal takaful bila dia terbaca satu status aku tentang takaful ni.

Dia tanya, "Berapa bulan-bulan kena bayar untuk takaful yang awak cakap ni?"

Aku pun balas, "Puan, saya akan PM puan ye."

Aku pun PM la dia tentang pakej takaful dia tanyakan. Aku cakap kat dia aku akan sediakan pakej takaful yang terbaik yang boleh cover gaji husband dia sampai bila-bila.

Aku mintak sedikit maklumat tentang husband dia dan dia bagitau gaji bulanan husband dia ialah RM3000 sebulan. Jadi, untuk menyediakan pakej yang terbaik, aku bagitau dia 10% daripada gaji husband dia akan diambil untuk menyimpan dalam takaful.

Jadi, 10% daripada RM3000 ialah RM300. Dengan RM300 ni, apa manfaat yang puan ni akan dapat ialah:

Manfaat kematian/hilang upaya/sakit kritikal = RM300,000
Khairat kematian = RM7000
Manfaat kemalangan = RM50,000
Elaun Hospital = RM200/hari
Medical card = Coverage RM100,000 setahun (unlimited lifetime)

So, aku pun terangkanlah pasal manfaat ni kat puan ni. Lepas habis terangkan tu, puan ni pun cakap terima kasih kat aku sebab tolong terangkan panjang lebar.

Masalah sebenar

Kemudian, dia pun bagitau masalah dia kenapa dia tak boleh menyimpan dalam takaful. Sebab utamanya ialah dia cakap duit gaji dia dan husband cukup-cukup makan je. Lepas bayar itu ini, belanja makan minum dan pakaian, baki duit gaji pun tinggal cukup-cukup dalam RM300-RM400 untuk buat belanja pergi kerja je. Nak menyimpan pun tak dapat.

Aku baca apa yang dia mesej kat aku pun aku rasa terkesan sangat pasal aku melalui situasi yang sama dia lalui. Pastu aku pun bagitau dia macam ni.

"Puan, saya pun sangat memahami apa yang puan rasai sebab saya pun melalui situasi yang sama. Tetapi puan, walau sesak macam mana pun, saya tetap ambil takaful, bukan untuk saya, tapi untuk isteri dan anak saya.

Waktu saya ada pun boleh rasa sesak duit, bayangkanlah waktu saya sudah tiada lagi di dunia ini. Pasti lagi sesak isteri saya untuk menanggung perbelanjaan dia dan anak saya."

Bayar Diri Sendiri Dahulu

Menurut Puan Hajah Rohani Datuk Haji Mohd Shahir, penulis buku Bijak Mengurus Wang ada memberitahu di dalam bukunya, apabila kita mendapat gaji, perkara pertama yang harus kita buat ialah membayar diri sendiri dahulu.

Bagaimana caranya? Caranya ialah dengan ambil duit gaji kita itu dan simpan 10% daripadanya. Yelah, setelah penat kita bekerja dan berusaha, takkan kita nak habiskan duit itu untuk orang lain? Lebih baik kita simpan sedikit untuk kegunaan kita sendiri.

Kemudian, baki 90% itulah kita gunakan untuk membayar segala tanggungan dan perbelanjaan. Jika kita rasa 90% daripada gaji kita tak cukup untuk membayar perbelanjaan dan tanggungan, sebenarnya kita tidak cuba untuk merancang kewangan kita.

Cuba kita selidiki balik sejarah perbelanjaan kita, pasti kita akan sedari ada belanja-belanja tidak patut yang telah kita lakukan. Dengan 90% daripada gaji kita ini, jika kita merancang dengan baik cara untuk gunakannya, pasti ia akan cukup-cukup untuk menanggung perbelanjaan kita.

Merancang Kewangan

Jadi, seharusnya kita perlu MERANCANG KEWANGAN kita. Jangan sia-siakan duit yang telah kita usahakan dengan begitu penat lelah hanya semata-mata untuk bayar hutang sahaja. Bayar sedikit kepada kita, hargailah diri kita.

Tapi, kalau tak boleh nak simpan 10% daripada gaji kita, sekurang-kurangnya pastikan kita ada buat simpanan walaupun sedikit. Ini MESTI buat. Mesti sangat-sangat. Kita harus bersedia jika sebarang kecemasan berlaku dan memerlukan duit, jadi simpanan ni la yang kita boleh guna.

Dan inilah nasihat terakhir yang aku berikan kepada kenalan FB aku tu sebelum aku mengakhiri PM aku dengan dia. Semoga bermanfaat untuk dia dan semua yang membaca.

Tuesday, January 7, 2014

Tak Ada Duit Tak Boleh Sekolah

Assalamualaikum. Hari ini saya baru baca satu cerita yang menyedihkan. Sangat-sangat menyedihkan. Terus terang saya cakap, saya memang tak suka baca cerita macam ni pasal saya takut saya nangis.

Ya Allah, sedih sangat cerita tentang adik ini. Di saat ramai orang mendaftar anak-anak ke sekolah dengan riang, adik ini mendaftar dengan rasa sedih.

Dia bersama datuknya datang ke sekolah untuk pendaftaran dan ketika hendak membayar yuran, datuknya mengeluarkan bunjut berisi wang syiling. Nak buat apa tu? Rupa-rupanya dia ingin membayar yuran persekolahan untuk cucunya.

Ish, sedihnya baca kisah ini. Tapi, yang buat saya bertambah sedih ialah bilamana duit syiling yang dibawa rupa-rupanya tidak mencukupi untuk membayar yuran pendaftaran sekolah.

Ya Allah, lagi sedih dan sedih saya membaca kisah adik ini. Dah la bawa duit syiling je, lepas tu tak cukup pula tu.

Allahuakbar, berat sungguh dugaan yang dialami oleh adik ini.

Untuk ketahui lebih lanjut, mungkin anda boleh baca melalui link di bawah. Nak ulas lagi pun saya rasa tak mampu sebab sedih sangat. Moga-moga saya mampu menyediakan pendidikan yang sebaik-baiknya untuk anak saya.

KISAH ADIK NURKHATIJAH, PELAJAR SEKOLAH RENDAH TAK CUKUP DUIT BAYAR YURAN SEKOLAH.

Tuesday, December 31, 2013

Tips Mengubahsuai Rumah Secara Sah

Assalamualaikum. Semalam lepas habis kerja, saya terus memecut ke Mydin Meru untuk bertemu dengan pelukis pelan saya. Tujuannya adalah untuk meminta bantuan mereka melukis pelan untuk rumah yang baru saya beli.

Saya bercadang untuk menambah bahagian belakang rumah saya, oleh itu saya perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh untuk melakukan pengubahsuaian ini.

Maka dengan ini, saya perlu menggunakan khidmat pelukis pelan yang berdaftar dengan pihak MBI. Jadi, pihak MBI telah memberikan nama seorang pelukis pelan yang biasa berurusan dengan mereka iaitu Puan Wati.

Saya menyangkakan Puan Wati ini orang Melayu Islam, rupa-rupanya dia ni orang India. Dah la masa wife saya call dia, wife saya bagi salam, mujur dia tak jawab. Bila jumpa dia kat Mydin Meru, barulah tau yang dia ni memang sah orang India.

Puan Wati ni dia bisnes lukis pelan dengan husband dia. Kira ni bisnes husband and wife la. Jadi, kami pun duduk bersama untuk berbincang tentang perkara-perkara yang perlu diketahui sebelum memulakan urusan melukis pelan.

Sepanjang perbincangan saya dan Puan Wati ini, apa yang saya boleh katakan tentang dia dan suaminya ialah, mereka ini pasangan suami isteri yang sangat jujur dan sangat-sangat membantu. Bagi saya dan isteri yang masih mentah dalam urusan mengubahsuai rumah ini, rasa sangat seronok mendengar penjelasan daripada mereka berdua.

Mereka bercerita dengan begitu telus sekali tanpa menyorok sebarang fakta. Apa sahaja maklumat yang mereka rasakan membantu saya dan isteri, mereka beritahu. 

Antara perkara yang mereka beritahu yang mengejutkan saya dan isteri ialah, rupa-rupanya nak pasang awning pun kena lukis pelan. Wah! Selama ini kami ingat boleh pasang macam tu je. Nasib la Puan Wati dan suami dia beritahu, kalau tak, MBI boleh saman saya dan isteri woo. 

Menurut Puan Wati dan suaminya, jumlah saman yang dikenakan adalah tinggi di mana ia boleh mencecah 20 hingga 30 kali ganda nilai pengubahsuaian (bergantung pada ukuran pembinaan). Kata mereka, ada satu kes pelanggan mereka yang telah di saman sebanyak RM6000.00. Padahal, kos pengubahsuaian mereka hanyalah RM300 sahaja. Menakutkan sungguh.

Namun begitu, dengan segala info yang diberikan oleh Puan Wati secara lengkap, insyaAllah saya boleh elakkan masalah seperti ini berlaku pada saya.

Seronok mendapat pelukis pelan yang baik dan sangat telus dalam memberikan maklumat tanpa berselindung. Saya sebagai pelanggan pun rasa seperti sangat dihargai. Yang bestnya, mereka memuji saya dan isteri sebagai pasangan yang comel. Rasa nak tergelak pun ada.

Kepada orang-orang kawasan Ipoh, Manjung atau Kuala Kangsar yang ingin mendapatkan khidmat Puan Wati untuk melukis pelan rumah anda, boleh hubunginya di talian ini : 016-5072475.

Semoga dengan info yang diberikan, dapat membantu melancarkan urusan anda semua.

Suami Puan Wati sedang memberi nasihat kepada kami tentang pengubahsuaian rumah.