Tuesday, December 31, 2013

Tips Mengubahsuai Rumah Secara Sah

Assalamualaikum. Semalam lepas habis kerja, saya terus memecut ke Mydin Meru untuk bertemu dengan pelukis pelan saya. Tujuannya adalah untuk meminta bantuan mereka melukis pelan untuk rumah yang baru saya beli.

Saya bercadang untuk menambah bahagian belakang rumah saya, oleh itu saya perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh untuk melakukan pengubahsuaian ini.

Maka dengan ini, saya perlu menggunakan khidmat pelukis pelan yang berdaftar dengan pihak MBI. Jadi, pihak MBI telah memberikan nama seorang pelukis pelan yang biasa berurusan dengan mereka iaitu Puan Wati.

Saya menyangkakan Puan Wati ini orang Melayu Islam, rupa-rupanya dia ni orang India. Dah la masa wife saya call dia, wife saya bagi salam, mujur dia tak jawab. Bila jumpa dia kat Mydin Meru, barulah tau yang dia ni memang sah orang India.

Puan Wati ni dia bisnes lukis pelan dengan husband dia. Kira ni bisnes husband and wife la. Jadi, kami pun duduk bersama untuk berbincang tentang perkara-perkara yang perlu diketahui sebelum memulakan urusan melukis pelan.

Sepanjang perbincangan saya dan Puan Wati ini, apa yang saya boleh katakan tentang dia dan suaminya ialah, mereka ini pasangan suami isteri yang sangat jujur dan sangat-sangat membantu. Bagi saya dan isteri yang masih mentah dalam urusan mengubahsuai rumah ini, rasa sangat seronok mendengar penjelasan daripada mereka berdua.

Mereka bercerita dengan begitu telus sekali tanpa menyorok sebarang fakta. Apa sahaja maklumat yang mereka rasakan membantu saya dan isteri, mereka beritahu. 

Antara perkara yang mereka beritahu yang mengejutkan saya dan isteri ialah, rupa-rupanya nak pasang awning pun kena lukis pelan. Wah! Selama ini kami ingat boleh pasang macam tu je. Nasib la Puan Wati dan suami dia beritahu, kalau tak, MBI boleh saman saya dan isteri woo. 

Menurut Puan Wati dan suaminya, jumlah saman yang dikenakan adalah tinggi di mana ia boleh mencecah 20 hingga 30 kali ganda nilai pengubahsuaian (bergantung pada ukuran pembinaan). Kata mereka, ada satu kes pelanggan mereka yang telah di saman sebanyak RM6000.00. Padahal, kos pengubahsuaian mereka hanyalah RM300 sahaja. Menakutkan sungguh.

Namun begitu, dengan segala info yang diberikan oleh Puan Wati secara lengkap, insyaAllah saya boleh elakkan masalah seperti ini berlaku pada saya.

Seronok mendapat pelukis pelan yang baik dan sangat telus dalam memberikan maklumat tanpa berselindung. Saya sebagai pelanggan pun rasa seperti sangat dihargai. Yang bestnya, mereka memuji saya dan isteri sebagai pasangan yang comel. Rasa nak tergelak pun ada.

Kepada orang-orang kawasan Ipoh, Manjung atau Kuala Kangsar yang ingin mendapatkan khidmat Puan Wati untuk melukis pelan rumah anda, boleh hubunginya di talian ini : 016-5072475.

Semoga dengan info yang diberikan, dapat membantu melancarkan urusan anda semua.

Suami Puan Wati sedang memberi nasihat kepada kami tentang pengubahsuaian rumah.

Thursday, December 26, 2013

Musim Persekolahan Dah Nak Bermula

Assalamualaikum. Saya yakin dan pasti ramai yang sedang bercuti dan berehat bersama keluarga pada cuti umum hari ini. Saya juga yakin dan pasti ramai ibubapa sedang sibuk menguruskan persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah.

Memandangkan cuti sekolah akan tamat tidak lama lagi, para ibubapa harus mengambil kesempatan sedia ada untuk memastikan keperluan untuk anak-anak mereka untuk memulakan persekolahan akan lengkap sepenuhnya.

Anda pula bagaimana? Adakah anda sudah tergolong dalam golongan ibubapa yang sedang sibuk menguruskan persekolahan anak-anak?

Perbelanjaan sekolah 2014

Pada zaman sekarang harga sesuatu barang semakin lama semakin naik. Barang-barang persekolahan juga tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya.

Harga barang-barang persekolahan semakin lama semakin tinggi. Tak kiralah sama ada baju ke, seluar ke, kasut ke, semuanya pasti akan naik harga.

Perkara ini pastinya akan merunsingkan kepala ramai ibubapa. Jika anak seorang mungkin peningnya biasa-biasa sahaja. Tapi, cuba bayangkan jika anaknya ada 5, rasanya boleh gugur semua rambut di kepala.

Di sini saya ingin tunjukkan satu keratan gambar yang diambil daripada satu akhbar tanah air di mana ia menunjukkan jumlah kos barang-barang persekolahan yang perlu ibubapa ambil tahun untuk tahun 2014.

Gambar ini juga telah memecahkan anggaran kos perbelanjaan ini kepada dua iaitu kos belanja untuk pelajar lelaki dan kos belanja untuk pelajar perempuan.


Bagi pelajar lelaki, kos belanjanya ialah RM189.20. Manakala, bagi pelajar perempuan kos belanjanya ialah RM174.30. Secara puratanya, kos belanja bagi seorang anak masa kini ialah RM181.75. Namun begitu harga ini belum termasuk kos buku-buku sekolah seperti buku nota, buku latihan atau mungkin juga buku teks (untuk pelajar yang tidak layak mendapat pinjaman buku teks).

Andaikata belanja ini termasuk sekali kos buku, mungkin belanjanya mencecah RM400!

Naik, naik dan naik

RM400 untuk seorang anak pada tahun 2014, tinggi ke rendah?

Bagi saya, kos belanja ini memang tinggi. Tapi, ini belum lagi masuk duit belanja harian sepanjang tahun persekolahan.

Pernah saya berborak dengan kawan saya berapakah duit belanja yang dia berikan kepada anaknya setiap hari? Katanya, setiap hari dia akan bekalkan RM5.00 setiap hari.

Pergh! RM5.00 setiap hari? Banyaknya. Saya dulu, belanja sekolah saya RM2.00 sahaja. RM1 untuk sekolah pagi dan selebihnya untuk sekolah petang.

Kalau RM5.00 setiap hari, maksudnya, memang makin bertambahlah kos belanja sekolah seorang anak. Jom kita kira.

Kos belanja harian sepanjang tahun:

RM5 x 5 hari (hari persekolahan) x 4 minggu (minggu persekolahan) x 10 bulan (bulan persekolahan)

= RM1000.00

Kos perbelanjaan seorang anak (belanja keperluan sekolah + belanja harian)

RM400.00 + RM1000.00

= RM1400.00

Maknanya, dalam setahun, ibubapa haruslah menyediakan RM1400 untuk seorang anak mereka. Wow! Ini baru seorang sahaja. Kalau 5 orang yang dah sekolah, setahun kena sediakan RM6000!

MasyaAllah! Tinggi sungguh belanja untuk menghantar anak ke sekolah. Jika tiada persiapan awal yang dilakukan, sudah pasti para ibubapa akan berada di dalam kesusahan dan juga kesempitan wang.

Kos perbelanjaan ini juga tidak akan kekal kerana ia akan meningkat dari tahun ke tahun. Contohnya, jika anak anda sekarang berusia 1 tahun, selepas 6 tahun dia akan memulakan persekolahan. Dengan mengambil kira kada inflasi pada 5% setahun, mari kita lihat berapakah jumlah perbelanjaan yang perlu disediakan:

[RM1400 x 5%] + RM1400 = RM1470

Maka, pada usia anak anda 7 tahun, perbelanjaan yang perlu anda keluarkan untuk menghantar anak anda ke sekolah ialah RM1470. Nampak tak nilainya semakin meningkat?

Mula sekarang

Sedar tak sedar, kos belanja persekolahan anak semakin lama semakin naik. Mahu atau tidak, kita sebagai ibubapa haruslah menerima hakikat ini.

Jadi, apa harus kita lakukan?

Apa yang anda boleh buat ialah, menabunglah dari awal untuk belanja pendidikan anak anda. Jika tidak dapat menabung banyak, menabunglah sedikit demi sedikit.

Janganlah tidak menabung langsung kerana ia akan memakan diri anda semula.

Menabung sedikit demi sedikit ini adalah untuk mengelakkan anda mengeluarkan belanja secara banyak sekaligus. Jika anda sudah ada simpanan sedikit, maka kewangan anda akan terasa kurang bebanannya bila tidak dikeluarkan sekaligus.

Jika tidak dapat dimulakan dengan RM100, mulakanlah dengan menyimpan RM50 sebulan. Jika RM50 pun tak boleh, simpanlah pada nilai yang lebih kecil daripada itu. Nak simpan dengan nilai sen pun, insyaAllah ia akan membantu juga waktu kita sesak.

Yang penting, mulakanlah menyimpan dan mulakanlah awal. Jangan dihujung-hujung tu baru nak mula. Waktu tu, memang banyaklah belanja nak dikeluarkan sekaligus.

Saya berharap dengan entri ini, ia dapat membantu menyedarkan anda dan saya tentang pentingnya memiliki simpanan awal untuk persekolahan anak-anak. Semoga anda dan saya mendapat manfaat yang sebaiknya hasil perkongsian entri ini.

Jika anda rasa entri saya ini bermanfaat untuk dikongsikan dengan rakan-rakan anda, maka silakanlah untuk mengongsikannya. Semoga kita bersama-sama mendapat faedah hasil perkongsian ini.

Monday, December 23, 2013

Mana Ibuku, Mana Ayahku?

Assalamualaikum. Pernah tak semasa anda kecil, tiba-tiba anda terbangun tengah malam semata-mata untuk melihat sama ada ayah dan ibu anda hidup lagi ke tak?

Pernah tak, pernah tak?


Semasa kanak-kanak

Saya tidak tahu sama ada anda pernah buat atau tidak apa yang saya perkatakan di atas. Tetapi saya pernah buat macam tu.

Kadangkala, saya akan terbangun secara tiba-tiba. Bila dah bangun tu, saya akan pergi ke bilik mak abah saya untuk mengetahui sama ada mereka masih ada atau tidak.

Jika saya mendengar dengkuran abah saya, maka saya yakin yang mak abah saya masih hidup. Lalu saya boleh sambung tidur semula dengan tenang.

Tapi kenapa saya buat macamm ni ye?

Semasa kecil, saya ada satu perasaan takut kehilangan. Takut hilang yang paling kuat ketika itu ialah takut kehilangan mak abah saya.

Walaupun saya ini nakal dan degil orangnya, tetapi saya tetap menyayangi mak abah saya. Jadi, takut kehilangan mereka itu sangat-sangat dirasai.

Jika saya kehilangan mereka, apa yang pasti, saya sudah kehilangan kasih sayang daripada seorang ibu dan bapa.

Kehilangan kasih sayang ibu dan bapa adalah sesuatu yang lebih bernilai daripada wang ringgit. Ramai di dunia ini yang tiada ibu atau bapa pasti sanggup menghabiskan harta-harta yang mereka ada asalkan mereka dapat merasa kasih sayang ibu dan bapa.

Selain itu, jika saya sudah kehilangan mak abah saya semasa kecil, pasti perkara yang seterusnya saya takuti ialah makan minum saya.

Yelah, saya kan masih kecil lagi masa tu, mana nak cari duit untuk buat belanja makan. Selalunya, makan minum tu dah siap masak je. Saya cuma pergi dapur untuk senduk je makanan tu.

Tapi kalau mak abah saya sudah tiada, siapa pula yang akan sediakan makan minum untuk saya dan adik beradik saya? Ada ke yang sudi bantu? Atau saya kena kerja untuk sesuap nasi atau saya terpaksa mengemis demi mendapatkan makanan?

Semasa kecil pun saya dah fikir sampai tahap macam ni kan? Boleh tahan tak?

Tapi apa yang penting, ketika saya masih kecil, saya tahu saya memang tak boleh hidup tanpa mak abah saya. Tanpa mereka, banyak benda saya tak boleh uruskan sendiri. Sampai satu tahap, saya harap, kalau Allah nak ambil nyawa ahli keluarga saya, ambillah saya dahulu supaya saya tak sempat rasa hidup derita tanpa mak dan abah.

Syukur Alhamduliilah

Sekarang saya pun dah berusia 28 tahun. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. 

Alhamdulillah, mak abah saya masih hidup lagi sampai sekarang, sempat mereka merasa nikmat memiliki cucu sendiri.

Allahuakbar. Rancangan Allah S.W.T ini sangat misteri. Walaupun sering merasa takut jika kehilangan mak abah saya, tapi Allah telah memanjangkan umur mereka sehingga tahap saya dan adik beradik lain sudah mampu hidup berdikari sendiri.

Syukur juga saya panjatkan kepada tuhan sekalian alam kerana masih memberi kesempatan kepada saya dan adik beradik lain untuk merasai lagi kasih sayang mak abah saya walaupun saya sudah mempunyai keluarga sendiri.

Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada mak abah saya dan semoga Allah mengampuni mereka serta memberkati segala apa yang mereka lakukan di dunia ini.

Jika semasa kecil saya sering takut kehilangan mak abah saya, kini selepas mempunyai anak sendiri, saya pula takut jika saya dan isteri saya pergi dahulu dan meninggalkan anak saya keseorangan pada usianya yang baru meniti 2 tahun.

Andainya saya dan isteri pergi dahulu, maka anak saya akan kehilangan satu nikmat yang sangat besar iaitu kehilangan kasih sayang ibu dan bapa.

Kehilangan nikmat ini seawal usia 2 tahun pasti suatu perkara yang menyedihkan. Ini kerana kasih sayang adalah sanga penting bagi kanak-kanak seusia ini untuk membesar. Mereka perlukannya agar dapat merasa dimanjakan, dibelai dengan kasih sayang dan diberi perhatian yang secukupnya.
Bayangkan jika kanak-kanak seusia ini kehilangan kasih sayang ibu dan bapa, pasti sedih bukan?

Selain itu, jika saya dan isteri pergi dulu, siapa pula yang akan ambil alih tugas saya untuk menjaga anak saya ini? Siapa yang akan sediakan makan minumnya, pakaiannya, tempat tinggalnya? Di samping itu, siapa pula yang sanggup melayan kerenahnya? Siapa? Siapa?

Mesti yang ada kata opah dan atuknya kan ada? Betul tu, tapi sampai bila? Adik beradik? Saudara mara? Mereka mungkin boleh jaga, tetapi bagaimana tahap kasih sayang yang mereka berikan, adakah sama seperti yang kita berikan?

Setiap kali memikirkan tentang hal anak saya ini, saya pasti akan berasa sedih. Kerana saya tahu, hanya saya dan isteri saya sahaja yang boleh berikan yang terbaik untuk anak saya.

Atas sebab itulah saya sering berdoa kepada Allah agar Dia memanjangkan umur saya dan isteri agar kami dapat memberikan kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada anak saya paling kurang pun sehingga dia dewasa dan mampu untuk berdikari sendiri.

Tetapi, jika Allah takdirkan saya dan isteri hidup lagi selepas anak saya sudah membesar menjadi insan yang mampu berdikari sendiri, hanya rasa syukur yang tidak ternilai saya dapat panjatkan kepada Allah Yang Maha Esa.

Cukuplah setakat ini bebelan saya, risau pula saya jika bebelan saya terlalu panjang, ramai pula yang akan menangis akibat tersentuh. (Oh perasan sendiri pula)

Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat memberi manfaat kepada anda yang membaca dan tidak lupa kepada diri saya sendiri. Selain itu, jika anda rasakan apa yang saya kongsikan ini bermanfaat untuk rakan-rakan anda, sudi-sudikanlah untuk berkongsi dengan mereka. Mana tahu mereka akan mendapat manfaat yang selama ini mereka cari.

Wednesday, December 18, 2013

Rahsia Menyimpan Duit Secara Berterusan Tanpa Henti

Assalamualaikum. Waktu tengah lepak-lepak tengok televisyen, tiba-tiba isteri panggil saya.

"Bang, ni Kak May (bukan nama sebenar) tanya pasal takaful untuk anak-anak dia ni."

"Aik, macam mana dia tau abang buat takaful ni?"

"Ni ha, sambil sembang-sembang pasal bisnes, saya bagitau la yang abang buat bisnes takaful."

"Ow macam tu. Apa lagi dia tanya?"

"Dia tanya kat mana nak rujuk kalau nak tau pasal takaful untuk anak-anak dia ni?"

Hmm... Masa ni barulah saya terfikir, saya tak pernah buat pun entri pasal takaful untuk anak-anak ni.

"Ok, nanti abang buat entri kat blog, lepas tu awak bagilah kat Kak May nanti."

"Ok."

Takafulink Education

Disebabkan pertanyaan daripada kawan isteri saya tu, maka saya pun berusahalah untuk menyiapkan entri khas ini.

Segala penyampaian di dalam entri ini akan saya terangkan dalam bentuk yang mudah difahami dan ringkas.

Semoga anda yang membaca entri ini dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan ye.

Baiklah, begini saya mulakan.

Takafulink Education atau MTED (selepas ini hanya MTED akan digunakan) adalah satu skim simpanan takaful khas untuk kanak-kanak sahaja. Ia boleh dimulakan seawal usia 30 hari dan maksimanya ialah 15 tahun.

Tujuan MTED ialah untuk memastikan anda mempunyai dana sokongan yang berterusan walaupun anda sudah tidak mampu lagi untuk menyimpan akibat 3 perkara; kematian, hilang upaya kekal dan menghidapi sakit kritikal.

Dana sokongan ini ialah dana yang akan digunakan untuk membantu anak anda melanjutkan pelajarannya ke universiti nanti.

Keistimewaan terhebat MTED ini ialah apabila anda mengalami antara 3 perkara ini iaitu kematian atau hilang upaya menyeluruh atau menghidapi sakit kritikal, anda tidak perlu membayar caruman lagi kerana semuanya akan ditanggung oleh pihak takaful.

Maka dengan ini, dana pendidikan anak anda tetap dapat diteruskan walaupun anda sudah tidak mampu meneruskan simpanan untuk pendidikan anak anda.

Contoh kes

Ramli bercadang untuk memulakan simpanan pendidikan untuk anaknya apabila dia memasuki universiti kelak.

Ramli sebolehnya tidak mahu anaknya melakukan pinjaman pendidikan supaya apabila anak dia sudah tamat belajar nanti, dia tidak dibebani hutang.

Sekarang anaknya baru berusia setahun. Jadi dia perlu mengetahui berapakah kos pendidikan pada masa umur anaknya mencecah 19 tahun dan berapakah simpanan yang perlu dibuat dalam sebulan.

Kos pendidikan masa kini dianggarkan berjumlah RM60,000.00. Kos ini termasuk kos yuran universiti, alatan pendidikan seperti buku dan juga kos sara hidup.

Pada masa usia anak Ramli mencecah 19 tahun nanti, kos ini tidak kekal sama kerana ia meningkat akibat kadar inflasi. Andaikan kadar inflasi semasa ialah 4%. Jadi, kos pendidikan ketika anak Ramli berusia 19 tahun ialah:

[RM60,000 x 4% x 18 tahun] + RM60,000

= RM103,200.00

Jadi, kos pendidikan sewaktu anak Ramli berumur 19 tahun ialah RM103,200. Maka, sekarang Ramli perlu fikirkan berapakah jumlah simpanan bulanan yang harus dia buat.

[RM103,200/18 tahun]/12 bulan

= Lebih kurang RM480 sebulan

Namun begitu, dengan menyimpan di dalam MTED, Ramli tidak semestinya harus menyimpan sebanyak RM480 sebulan. Ini kerana di dalam MTED ada disediakan skim pelaburan yang boleh meningkatkan jumlah simpanan.

Kotak merah menunjukkan jumlah simpanan semasa anak Ramli berusia 19 tahun

Mengikut kiraan saya, Ramli hanya perlu menyimpan sebanyak RM300 sahaja sebulan untuk dia mencapai kos pendidikan RM103,200 ketika anaknya berusia 19 tahun.

Kenapa RM300 sahaja? Ini kerana MTED ada skim pelaburan yang berlandaskan syariah yang boleh membantu meningkatkan jumlah simpanan.

Maka dengan ini, Ramli pun mula menyimpan RM300 sebulan di dalam MTED untuk simpanan pendidikan anaknya.

Katakanlah pada tahun ke 10 Ramli menyimpan, tiba-tiba terjadi sesuatu yang tidak diingini kepadanya.

Dia kemalangan dan menyebabkan dia hilang upaya untuk bekerja lagi.

Jadi, apabila sudah tidak boleh bekerja, dia diberhentikan oleh majikannya dan secara automatik dia hilang sumber pendapatan.

Maka, bila sudah tiada sumber pendapatan, jadi sudah tentulah dia tidak boleh teruskan simpanan pendidikan anaknya kan?

Ha, jika perkara seperti ini berlaku, Ramli pasti bersyukur kerana dia menyimpan di dalam MTED.

Hal ini kerana, dengan menyimpan di dalam MTED, apabila Ramli mengalami hilang upaya menyeluruh, Ramli tidak perlu lagi membayar caruman untuk simpanan pendidikan anaknya.

Segala caruman selepas ini akan ditanggung oleh pihak takaful. Jadi, Ramli tidak perlu lagi gusar tentang simpanan pendidikan anaknya kerana ia tetap akan berterusan sehingga anaknya berusia 19 tahun.

Selain mendapat manfaat seperti itu, dengan menyimpan di dalam MTED juga, anak Ramli turut diberikan perlindungan kewangan akibat kematian, hilang upaya menyeluruh atau menghidapi sakit kritikal. Khairat kematian turut disediakan dan tidak dilupakan juga elaun hospital.

Jadi bagaimana setakat ini? Adakah anda merasakan MTED ini bagus untuk simpanan pendidikan anak-anak anda?

Kad Perubatan

Selain MTED, digalakkan juga para ibu bapa memiliki kad perubatan. Dalam MAA Takaful, kad perubatan ini dipanggil SmartMedic 200 (selepas ini hanya SM200 sahaja akan digunakan).

Apakah keistimewaan terhebat SM200 ini?

Anda boleh mendapatkan rawatan di hospital secara PERCUMA sahaja.

Ini kerana, segala kos rawatan perubatan akan ditanggung oleh pihak MAA Takaful.

Selain itu, dengan SM200, anda boleh selamatkan duit anda daripada digunakan untuk membayar kos rawatan perubatan yang sekarang semakin tinggi.

Jadi, daripada mengorbankan ribuan ringgit, tidak salah sekiranya anda berkorban mengeluarkan puluhan ringgit sebulan untuk mendapatkan SM200 dan seterusnya membantu anda daripada perlu menanggung kos rawatan perubatan yang boleh mencecah ribuan malahan ratusan ribu ringgit.

Jadi, anda boleh pilih, mahu korbankan puluhan ringgit sebulan, atau ratusan ribu ringgit yang boleh habis dalam sehari sahaja? Pilihan di tangan anda.

Maklumat terperinci

Segala maklumat yang saya sampaikan ini baru di atas permukaan sahaja. 

Ini untuk membantu anda mendapatkan gambaran kasar tentang MTED dan juga SM200.

Adalah tidak patut bagi saya menyumbat segala maklumat di dalam satu entri ini, kerana ia akan menyebabkan minda anda 'kejang' apabila membaca dan mencuba menghadam apa yang saya sampaikan ini.

Cukuplah saya beritahu sedikit-sedikit dahulu agar anda dapat melihat sinar manfaat MTED dan SM200 ini.

Andainya anda mahukan maklumat yang lebih tepat dan mendalam, maka, usah ragu-ragu untuk hubungi saya. Saya akan cuba sedaya upaya saya untuk memberitahu maklumat-maklumat yang boleh membantu anda membuat keputusan yang tepat.

Anda boleh hubungi saya di talian 017-4871417.

Atau...

Add facebook saya iaitu https://www.facebook.com/norizwan.azlan. Kemudian anda boleh PM saya untuk kita 'berchatting' tentang MTED dan SM200 ini.

Semoga info-info yang saya berikan di sini dapat memberi manfaat kepada anda yang membacanya.

Jika anda merasakan entri saya ini bagus dan berguna kepada rakan-rakan anda, apa kata anda klik butang 'share' di bawah agar kita bersama-sama mendapat manfaatnya. 

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya sehingga habis dan semoga anda sentiasa berada di dalam lindungan Allah S.W.T. Wassalam.
=================================================================================
*Tips asas kewangan untuk membuat simpanan, sila ingat kata-kata ini, "Jangan letakkan semua telur di dalam bakul yang sama". Mohon fahaminya. ^_^

Monday, December 16, 2013

Strategi Menjual Secara Halus

Assalamualaikum. Selepas selesai servis kereta, aku hantar pula kereta untuk dicuci.

Sememangnya kereta putih jika tidak dicuci, maka tanpa perlu dihantar ke kedai cat ia akan automatik menjadi hitam tanpa sebarang kos.

Kali ini aku hantar ke sebuah kedai yang isteri aku rekemenkan. Katanya dapat air soya free masa menunggu.

Malangnya air soya tak dapat disediakan, kerana mesin soya tauke kedai rosak.

Tapi aku dapat benda yang lebih berharga daripada air soya, iaitu ilmu bisnes.

Kejutan Tauke Kedai


Tanpa disangka-sangka, tauke kedai yang juga pencuci kereta ini rupa-rupanya adalah pemegang ijazah kedoktoran (Phd).

Terkejut aku. Mujur aku takde buat sangkaan yang buruk-buruk tentang beliau.

Jadi, aku pun terus bersembang dengan beliau tentang dunia bisnesnya.

Katanya, bisnes car wash beliau ini hanyalah sementara kerana bisnes sebenarnya ialah membuka perniagaan kafe.

Udang sebalik batu


"Aik, kenapa abang buat macam ni?" Tanya aku.

"Ha, ini yang abang panggil sesi pengenalan. Buat bisnes lain, untuk kenalkan bisnes utama. Seni menjual secara halus."

"Wah, hebat idea abang ni. Ada udang sebalik batu la ye?"

"Yup. Kalau adik nak tau, setakat ni abang dah ada 700 nama bakal pelanggan abang. So,diorang ni lah yang akan bantu abang untuk promote bisnes kafe abang nanti."

Hmm... Hebat cara abang ni berfikir. Patutlah dalam kedai car wash dia penuh dengan buku-buku bisnes. Katanya buku ni beliau beli sewaktu belajar master dan Phd dulu.

Walaupun tiada air soya percuma, tetapi Allah S.W.T telah gerakkan hati aku untuk bersembang dengan tauke car wash ni yang akhirnya membolehkan aku mendapat ilmu yang lebih mahal daripada air soya.

Strategi untuk berjaya


Mesej dalam cerita ini ialah, apabila kita berniaga untuk menjual produk atau servis kita, kita sebenarnya boleh memilih untuk tidak menjual secara langsung.

Apabila kita tidak menjualnya secara langsung, maka prospek tidak akan rasa seperti ditekan untuk membeli produk kita.

Macam kita sendiri pun tak suka kena tekan kan oleh penjual? So, apa salahnya kita jalankan bisnes kita tanpa perlu menekan pelanggan kan?

Macam abang ni buat, dia jalankan bisnes car wash. Sambil-sambil tu dia bagi air soya percuma. Jadi, bila dapat air soya percuma, orang akan tanya buat sendiri ke?

Maka, masa ni lah abang ni akan buka cerita pasal air soya yang dia buat sendiri dan kafe yang dia akan buka nanti.

Lagipun bukan abang ni yang tekan pelanggan untuk beli air soya beliau, dah orang tanya, maka abang ni kenalah jawab. Bila jawab tu dia selit-selit la pasal bisnes kafe dia.

Secara tak langsungnya pelanggan akan mengenali bisnes utama abang ini dan mungkin tertarik untuk datang ke kafe abang ni walhal pelanggan menggunakan servis car wash abang ni je.

Nampak tak strategi dia? Buat bisnes skala kecil untuk memperkenalkan bisnes berskala besar.

Semoga cerita ini dapat tolong brainstorm korang yang mungkin tengah mencari-cari idea untuk memantapkan lagi bisnes korang. Moga-moga bermafaat kepada korang semua.

Friday, December 13, 2013

[Kasih Seorang Ayah] Kaulah segalanya untukku

Assalamualaikum. Salam Jumaat kepada anda semua.

Panas sungguh cuaca hari ini. Tapi alhamdulillah, sebab sekian lama hujan, hari ini dapatlah merasa cuaca panas.

Lepas sembahyang Jumaat tadi, saya sempat melayari laman blog seorang sahabat saya ini.

Saya sering mengunjungi laman blog sahabat saya ini kerana entri-entri di dalam blognya sangat menarik untuk di baca.

Jadi di sini, saya akan ringkaskan apakah entri yang saya baca di blog sahabat saya ini.

Cerita di blog sahabat

Semalam, sahabat saya pergi ke Pulau Pinang kerana ada sedikit urusan bersama dengan dua rakannya.

Dalam perjalanan, dia dan rakannya singgah sebentar di sebuah kedai minum untuk berehat sebentar.

Sahabat saya dan dua rakannya ini telah meminta minuman yang sama iaitu, nescafe tarik.

Setelah meluangkan masa 30 minit di kedai itu, sahabat saya dan rakannya mahu meneruskan perjalanan.

Sahabat saya memanggil pekerja kedai itu untuk membuat bayaran. Dia menjangkakan satu gelas nescafe tarik ini harganya pasti antara RM1.70 hingga RM2.00.

"Semua sekali RM3.60 bang."

Terkejut sahabat saya mendengarnya. Murah betul.

Untung atau tidak?

Untuk memastikan pekerja kedai ini mengira dengan betul, sahabat saya memanggil tauke kedai ini.

"Bang, betul ke 3 gelas nescafe tarik ni RM3.60?"

"Betul dik."

"Maksudnya satu gelas ni RM1.20 je ye?"

"Ye dik."

Bagi sahabat saya, harga minuman ini sangat murah berbanding harga di kedai-kedai minum lain terutama sekali di kedai mamak.

Perkara ini menyebabkan sahabat saya ingin bertanya lebih lanjut kepada tauke kedai ini.

"Kenapa abang jual murah sangat, boleh untung ke macam ni bang?"

"Nak buat macam mana dik, abang berniaga kat kampung je. Orang kampung mana boleh bayar mahal-mahal."

Hmm... Betul juga tu, fikir sahabat saya ini. Kemudian dia bertanya lagi.

"Tapi bang, boleh lepas modal ke bang? Nak bayar gaji pekerja lagi, gaji abang lagi. Minta maaf tanya ye bang, sehari biasa berapa abang boleh dapat?"

"Sehari dalam RM150 abang boleh dapat."

Pengorbanan seorang ayah

Wah, boleh tahan juga bagi peniaga kampung macam abang ni boleh dapat RM150.00 sehari.

"RM150 tu jualan ke untung bang?" Sambung sahabat saya lagi.

"Jualan dik. Sehari RM150. Separuh daripada tu modal. Jadi untung abang RM75. Tolak gaji pekerja, baki tu abang punyalah."

"Maaflah saya tanya lagi ye bang. Kenapa orang macam tak ramai je ni? Ke sebab dah pukul 9.30 pagi, tu yang orang tak ramai?"

"Sebenarnya dik, kedai abang ni buka tutup tak menentu. "

"Eh, kenapa macam tu pula bang?"



"Sebabnya, abang kena bawa anak abang pergi hospital untuk dapatkan rawatan. Dia ada kanser tahap 4. Jadi, abang tak boleh buka kedai tiap-tiap hari. Kadang-kadang tu sebulan kena duduk kat hospital, jadi sebulan jugalah abang tutup kedai. Kalau bukan abang yang jaga anak abang, siapa lagi nak jagakan?"

Ya Allah, tersentap sahabat saya mendengar ceritanya. Saya yang membaca cerita itu pun turut sama merasai keperitan hidup yang dialami oleh abang itu.

Di penghujung nyawa

Menurut abang itu lagi, anaknya yang menghidap kanser tahap 4 itu cuma ada masa antara 3-6 bulan sahaja untuk hidup.

Anaknya kini menghabiskan sisa-sisa kehidupannya di rumah dan perlu menelan ubat painkiller untuk menghilangkan rasa sakit yang ditanggungnya.

Allahuakbar. Kasihan anak abang itu. Berat betul ujian yang dihidapinya di kala usianya masih muda.

Namun begitu, abang ini masih bernasib baik kerana rawatan perubatan untuk anaknya di hospital adalah percuma. Jadi, dia tak perlu pening kepala untuk mendapatkan duit untuk membiayai kos rawatan anaknya.

Bebanan bertingkat-tingkat

Walaubagaimanapun, sahabat saya ini dapat meneka bahawa abang ini tetap menanggung dua jenis kesusahan.

Kesusahan yang pertama, abang ini tidak boleh berniaga dan kehilangan punca pendapatan.

Seperti yang dikatakan olehnya, kedainya dibuka secara tak menentu. Kadang-kadang sampai sebulan lamanya kerana dia perlu menjaga anaknya di hospital dan sebulan jugalah kedainya tutup.

Jadi, bagaimana dia hendak mendapatkan pendapatan jika perniagaannya tidak berjalan.

Kesusahan kedua, bagaimana dia hendak menampung perbelanjaan pengangkutan pergi balik ke hospital dan perbelanjaan makan minum di hospital sekiranya dia tiada pendapatan?

Pada saat ini, abang ini sangat-sangat memerlukan duit untuk menanggung perbelanjaannya. Tetapi yang terjadi hanyalah duit keluar dan tiada duit masuk.

Ya Allah Ya Tuhanku, kau ringankanlah beban abang ini ya Allah. Semoga dia tabah menghadapi semuanya.

Penyelesaian masalah

Apa yang terjadi kepada abang ini harus dijadikan iktibar oleh kita yang belum lagi menghadapinya.

Langkah-langkah awal haruslah diambil supaya masalah seperti yang dihadapi oleh abang ini kita dapat selesaikan.

Namun begitu, untuk abang ini, sama-samalah kita doakan agar Allah meringankan bebannya dan semoga dia tabah menghadapi dugaan ini.

Untuk kita yang belum mengalaminya, ada cara untuk kita atasi masalah ini iaitu dengan mengambil perlindungan Takaful.

Seperti yang anda sedia maklum dari awal entri ini, anak abang ini disahkan menghidap kanser tahap 4.

Tahukah anda dengan memiliki perlindungan takaful, anda akan dibayar sejumlah duit gantirugi (mengikut jumlah yang dipersetujui) jika anda disahkan menghidap sakit-sakit kritikal seperti kanser?

Gantirugi ini akan dibayar apabila anda disahkan sakit kritikal dan berada di tahap 3. Dengan duit gantirugi yang anda terima, sudah pasti anda boleh gunakannya sebagai perbelanjaan harian anda.

Selain itu, dengan perlindungan takaful, anda boleh mendapat elaun hospital.

Elaun hospital bermaksud, anda akan dibayar sejumlah wang kerana telah berada di dalam hospital selama sehari atau lebih.

Jika kita ambil contoh abang ini, katakan elaun hospitalnya ialah RM100 sehari dan dia perlu menjaga anaknya di hospital selama sebulan, maka elaun yang akan dia terima ialah:

RM100 x 30 hari = RM3000

Ya, abang ini akan dapat RM3000 sepanjang dia berada di hospital selama sebulan.

Bukankah ini suatu perkara yang bagus kerana dengan bantuan kewangan ini, abang ini dapat menggunakan duit ini untuk perbelanjaan pengangkutannya pergi ke hospital dan juga perbelanjaan makan minumnya di hospital.

Selain itu, elaun ini boleh diibaratkan sebagai sumber pendapatannya walaupun dia tidak membuka kedai minumnya.

Perkara ini saya kongsikan bersama anda kerana saya sedia maklum bahawa ramai menganggap bahawa perlindungan takaful ini hanya berguna apabila kita sudah mati sahaja.

Tetapi, perlindungan takaful sebenarnya sangat penting dan berguna kepada anda di kala masih hidup lagi.

Sedikit bebanan abang ini dapat dikurangkan bilamana dia boleh mendapat rawatan percuma di hospital. Tetapi bagaimana jika dia tidak mendapat rawatan percuma? 

Maka, sudah pasti bebanannya bertambah lagi.

Di dalam skim perlindungan takaful, anda boleh mendapat rawatan percuma apabila anda memiliki kad perubatan.

Dengan kad perubatan ini, anda tidak perlu risau dengan kos rawatan yang akan dikenakan kerana semuanya ditanggung oleh pihak takaful.

Menyusahkan atau menyenangkan?

Pada ketika ini, adakah anda masih merasakan bahawa perlindungan takaful ini adalah suatu perkara yang merugikan diri anda?

Mungkin semasa anda masih sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kewangan, anda boleh mengatakan anda tidak memerlukan perlindungan takaful.

Tetapi, bagaimana pula jika anda menerima nasib yang sama seperti abang ini? Sudahkah anda bersedia ketika itu?

Anda harus tahu, perlindungan takaful tidak akan dapat anda nikmati sekiranya anda sudah menghidapi penyakit-penyakit yang merbahaya seperti kanser.

Akhir kata, saya doakan agar abang peniaga kedai minum ini tabah menghadapi ujian daripada Allah S.W.T dan saya juga doakan agar anda yang membaca entri ini mendapat manfaat yang sebaik-baiknya.

Jika anda rasakan entri ini bermanfaat untuk dikongsikan bersama-sama rakan-rakan anda, silakan untuk klik butang 'share' di bawah.

Semoga dengan usaha yang anda lakukan dapat menolong lebih ramai kawan anda 'menyediakan payung sebelum hujan'.