Monday, March 24, 2014

Bila Sudah Terkena

Tadi kat kolej aku ada tazkirah pasal Tabung Warisan MARA.

Tujuan Tabung Warisan MARA ni ditubuhkan adalah untuk menjadi dana membantu anak-anak bumiputera mendapat bantuan kewangan melanjutkan pelajaran.

Bagi aku, tabung seperti patut telah lama diwujudkan. Kita tak boleh nak mengharap sangat kepada PTPTN, JPA dan sebagainya.

Jadi, alternatif seperti ini patut ditubuhkan dalam membantu masyarakat bumiputera.

Bantuan kewangan


Lepas habis tazkirah yang disampaikan oleh seorang pegawai dari Yayasan Pelajaran MARA, kawan aku yang duduk kat belakang tiba-tiba menegur aku.

"Bro, ada senior aku dia kena barah payudara. Kesian dia."

"Yeke? Kat mana dia sekarang ni?"

"Ada kat hospital la. Terbaring je kat katil tu. Sekarang ni kitorang tengah buat kutipan derma untuk bayar kos rawatan dia."

"Kesian senior kau tu. Dia tak ambil takaful ke?"

"Tak bro. Sebab tu kena buat kutipan derma."

"Hmm... Kalau macam tu, kau tolonglah apa-apa yang patut dan berilah mana-mana yang kau mampu."

Tiada siapa yang tahu


Aku yakin dan pasti bahawa senior kawan aku ni pun tak sangka dia akan menghidap barah payudara.

Aku juga pasti bahawa dia mesti ingat dia akan hidup sihat sejahtera sampai ke tua.

Tapi kita juga perlu ingat bahawa tiada siapa yang tahu masa depan kita selain daripada Allah S.W.T.

Walaupun sebelum ini dia mungkin nampak sihat, tetapi hakikatnya sudah tiba masa untuk senior kawan aku ni menghidapi penyakit barah payudara.

Aku tumpang simpati dengan apa yang terjadi kepada senior kawan aku ni.

Dengan penyakit yang dihidapinya, aku percaya dia akan melalui kehidupan yang sukar berbanding pada waktu sihatnya.

Dia perlu melakukan pelbagai rawatan dan mungkin juga perlu mengambil pelbagai jenis ubat untuk melawan penyakit barahnya.

Kini, kutipan derma harus dilakukan untuk memberi bantuan kewangan dari segi membayar kos rawatan senior kawan aku ni. Mungkin duit simpanannya sudah habis digunakan untuk membayar kos rawatan sebelum ini.

Nasihat berulang


Sebagai konsultan takaful, senario-senario seperti inilah yang selalu aku ceritakan kepada prospek-prospek aku.

Namun begitu, kebanyakan orang tidak menggemari mendengar cerita sebegini walaupun pada hakikatnya ia boleh berlaku kepada mereka.

Selagi tidak kena pada batang hidung sendiri, selagi itulah mereka percaya bahawa takaful ini sebenarnya membuang duit sahaja.

Tetapi, dengan memiliki takaful lah yang boleh membantu seseorang itu yang menghadapi masalah kewangan akibat penyakit yang dihidapinya.

Andaikata senior kawan aku ni ada perlindungan takaful dan kad perubatan, aku yakin masalah kewangan tidak akan menjadi bebanan untuknya.

Dalam MAA Takaful, ada disediakan gantirugi kewangan andainya peserta menghidapi penyakit kritikal. Jadi, dengan duit yang diterima boleh lah peserta menggunakannya untuk keperluan hidupnya.

Selain itu, MAA Takaful juga mempunyai kad perubatan yang boleh membantu menjelaskan segala rawatan yang diperlukan oleh peserta termasuk kos ubat-ubatan juga.

Sudah terhantuk


Walaupun sudah banyak kali memberi nasihat tentang manfaat takaful ini, ramai yang tetap mengendahkannya.

Mereka cuma mencari konsultan takaful sesudah mereka menghidapi penyakit.

Mereka sanggup membayar caruman yang tinggi asalkan mereka dilindungi takaful.

Tapi hakikatnya, takaful bukan seperti panadol. Bila pening, baru makan.

Ia harus dimiliki sebelum anda ditimpa musibah.

Jadi, aku harap, dengan perkongsian cerita ini dapat membuka minda dan hati korang tentang takaful.

Sesungguhnya, berada di dalam keadaan siap sedia itu lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada korang semua.

Monday, March 17, 2014

Menjadi Penjual Yang Kreatif.

Apabila korang nak membeli atau menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan, pernah tak korang membuat suatu perbandingan antara produk-produk atau servis-servis yang sedia ada dalam pasaran?

Aku percaya korang mesti buat macam tu sebab korang mahukan produk atau servis yang terbaik dan berbaloi dengan duit yang korang keluarkan.

Sebenarnya, bukan korang je yang membuat perbandingan tentang sesuatu produk atau servis, peniaga-peniaga pun turut membuat perbandingan di antara produk atau servis mereka dengan produk atau servis para pesaingnya.

Penjual Kreatif


Menurut Brian Tracy dalam bukunya 'The Psychology of Selling', untuk menjadi seorang penjual yang kreatif, seseorang penjual itu haruslah mengetahui apakah perkara yang ditawarkan dalam produk atau servis syarikatnya yang tiada pada produk atau servis syarikat pesaingnya.

Seseorang penjual itu haruslah bertanyakan kepada diri sendiri dua soalan ini untuk membantu menjadikan produk/servis syarikatnya lebih hebat daripada syarikat lain: 

1.  Apakah keunikan produk/servis yang syarikatnya miliki?
2.  Dalam cara bagaimanakah produk/servis syarikatnya lebih hebat daripada pesaing lain dalam pasaran?

Apabila seseorang penjual itu dapat menjawab soalan ini secara jelas dan teliti, ia dapat membantu seorang penjual itu menjadi lebih kreatif untuk mendapatkan prospek dan seterusnya menjual produk/servis milik syarikatnya.

Membezakan Produk/Servis


Brian Tracy juga turut menekankan bahawa seorang penjual yang kreatif adalah orang yang mampu membezakan produk/servis syarikatnya denngan syarikat pesaingnya.

Pembezaan itu boleh diketahui apabila penjual menggunakan soalan-soalan berikut:

1.  Apakah yang menyebabkan produk/servis syarikatnya lebih hebat berbanding produk/servis syarikat pesaingnya?

2.  Apakah manfaat istimewa yang ada pada produk/servis syarikatnya untuk pelanggan yang tiada pada produk/servis syarikat lain?

3.  Dalam bahagian apakah produk/servis syarikatnya 90% lebih bagus berbanding produk/servis yang sama dalam pasaran?

Dengan soalan-soalan ini, ia dapat membantu seseorang penjual menemui perbezaan yang ada pada produk/servis syarikatnya dengan produk/servis syarikat pesaingnya di mana ia dapat membantu penjual mengenalpasti kelemahan dan kelebihan syarikat pesaing-pesaingnya.

Seseorang penjual haruslah bijak membuat perbandingan antara produk/servis syarikatnya dengan syarikat pesaing supaya ia dapat memberi keuntungan yang maksima kepada syarikatnya.

Perbandingan Baik vs Perbandingan Tidak Baik


Selain itu, dengan melakukan perbandingan yang baik, ia dapat membantu pelanggan membuat keputusan yang tepat dan berbaloi dengan duit yang dikeluarkan oleh pelanggan.

Apabila seseorang penjual melakukan perbandingan antara produk/servis syarikatnya dengan syarikat pesaing tidak bermakna ia berkata sesuatu yang buruk tentang syarikat pesaingnya.

Berkata sesuatu yang buruk tentang syarikat pesaing dan membuat perbandingan yang baik mempunya perbezaan yang sangat ketara. Contohnya:

> Perbandingan yang baik : Syarikat Takaful ABC memberi perlindungan perubatan tanpa had sehingga umur 80 tahun manakala Syarikat Takaful DEF memberi perlindungan perubatan sehingga RM2 juta sehingga umur 80 tahun.

> Perbandingan yang tidak baik (berkata buruk) : Dengan Syarikat Takaful ABC, anda akan mendapat tuntutan dengan segera manakala Syarikat Takaful DEF selalu lambat dalam urusan tuntutan.

Biasanya, perbandingan yang baik ini dilakukan menggunakan fakta-fakta sedia ada dan bukti yang kukuh. Manakala perbandingan yang tidak baik atau berkata buruk tentang syarikat pesaing biasanya dilakukan tanpa ada fakta atau bukti yang kukuh.

Jadi, tidak salah jika kita sebagai seorang penjual ingin membuat perbandingan dengan syarikat pesaing kita kerana ia membantu kita menjadi seorang penjual yang kreatif.

Oleh itu, buatlah perbandingan secara bijak dan baik dan elakkanlah daripada berkata buruk atau memfitnah syarikat pesaing kerana sesungguhnya cara ini akan merugikan kita kembali.

Saturday, March 8, 2014

Hospital kerajaan akan diswastakan?

"Sebenarnya elok juga akak ambil medical card ni."

"Kenapa akak cakap macam tu?"

"Yelah, akak rasa tak lama lagi hospital kerajaan akan diswastakan."

Begitulah antara sesi perbualan aku dengan client aku. Antara tujuan dia ambil medical card ialah kerana dia khuatir tak lama lagi hospital kerajaan akan diswastakan.

Soalannya, bolehkah ia terjadi?


Sebelum tu, aku nak berkongsi dengan korang tentang satu topik yang ditulis oleh Dr. Ramli Tahir, iaitu penulis buku 'Kesihatan dan Kewangan'.

Topiknya ialah, 'Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Kerajaan'.

Menurut Dr. Ramli, perkhidmatan kesihatan dan perubatan di negara maju tidak lagi ditanggung oleh pihak kerajaan. Semua kos itu kini ditanggung sepenuhnya oleh rakyat negara tersebut.

Contohnya seperti Amerika Syarikat. Walaupun ia sebuah negara yang gah dengan kehebatan ekonominya, namun tidak masih dapat menampung kos perkhidmatan perubatan dan kesihatan untuk rakyatnya.

Di Amerika Syarikat, semua rakyatnya wajib memiliki insurans perubatan. Sekiranya seseorang itu sakit, perkara pertama yang ditanya oleh pihak hospital ialah, adakah individu itu mempunyai kad insurans perubatan atau tidak.

Jika tiada kad insurans perubatan, maka mereka tidak akan diterima masuk.

Bukan mereka yang bekerja sahaja perlu memiliki kad ini, malah para pelajar pun perlu memiliki kad insurans perubatan di sana.

Berbeza dengan Malaysia, anda hanya perlu bayar RM1.00 sahaja untuk mendapatkan rawatan. Kos selebihnya akan ditanggung oleh kerajaan.

Tapi, sampai bilakah kerajaan akan menanggung kos rawatan yang semakin lama semakin meningkat ini?


Faktor peningkatan populasi penduduk memainkan peranan dalam peningkatan kos perubatan kerana semakin ramai rakyat yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Pada tahun 1998, terdapat khabar berita bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia akan menswastakan beberapa hospital kerajaan untuk dijadikan percubaan.

Namun begitu ura-ura ini dibatalkan kerana mendapat bantahan daripada rakyat.

Dr. Ramli juga ada mengatakan bahawa mahu atau tida, kerajaan terpaksa juga menswastakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan. Ini kerana semakin maju sesebuah negara, semakin tinggi kos perubatan yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Selain itu, semakin besar bilangan penduduk sesebuah negara itu, semakin besar perbelanjaan untuk menyediakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan.

Persoalannya sekarang, bilakah masanya akan tiba untuk hospital kerajaan ini diswastakan? Mungkin 5 tahun lagi, atau mungkin 10 tahun lagi. Namun apa yang pasti, perkara ini pasti akan berlaku kelak.

Kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah bahawa penswastaan perkhidmatan kesihatan dan perubatan akan berlaku seiringan dengan kemajuan sesebuah negara itu. Oleh kerana kita semua inginkan kemajuan, maka penswastaan perkhidmatan kesihatan dan perubatan pasti tidak dapat dielakkan.

Sumber dari : Buku 'Kesihatan dan Kewangan'