Tuesday, October 22, 2013

Saya nak turunkan berat badan saya

Assalamualaikum. Pada minggu-minggu sebelum ini anda sudah mengetahui tentang elemen yang mempengaruhi penurunan dan penambahan berat badan iaitu, kalori.

Anda juga sudah tahu untuk mengira Kadar Metabolisma (KM) dan jumlah kalori yang anda perlukan seharian.

Jadi hari ini saya akan berikan satu contoh agar anda lebih jelas tentang cara menurunkan berat badan dengan mengawal pengambilan kalori dalam makanan.



Amirul (Kajian Kes)

Mari kita lihat fakta-fakta tentang Amirul:

Umur : 28 tahun

Berat : 85 kg

Tinggi : 168 cm

Jantina : Lelaki

Aktiviti : Ringan (banyak duduk)

Kadar Metabolisma Amirul:

= 66 + (13.7 x 85kg) + (5 x 168cm) - (6.8 x 28 tahun)

= 66 + 1164.5 + 840 - 190.4

= 1880.1

Pengambilan kalori harian:

= 1880.1 x 1.2

= 2256.12

Andaikata dalam sehari aktiviti kehidupan seharian Amirul, dia membakar kalori sebanyak 2330.

Soalnya, adakah berat Amirul akan turun atau bertambah?

Pengambilan kalori harian - Kalori yang dibakar harian

= 2256.12 - 2330

= -73.88

Oleh kerana Amirul mendapat nilai negatif (-ve), maka dengan ini, berat Amirul akan turun sebanyak 9.6g sehari. (1kg = 7700 kalori)

Apabila berat Amirul semakin turun, maka dia perlu mengubahsuai kadar pengambilan kalori hariannya agar dia dapat terus turunkan berat badan ke berat yang dia mahukan.

Jadi, Amirul perlu mengira semula Kadar pengambilan kalori hariannya untuk membantu dia mengawal kalori yang sepatutnya dia ambil.



Makan dengan betul, kurus dengan betul

Untuk menurunkan berat badan anda, apa yang penting adalah ilmu.

Dengan ilmu menurunkan berat badan yang betul, anda boleh mendapat berat badan yang anda impikan.

Jangan terlalu tergesa-gesa untuk menurunkan berat badan. Ini kerana, jika cepat berat badan anda turun, maka cepat jugalah ia akan naik.

Oleh itu, jangan mudah terpengaruh dengan produk-produk kuruskan badan dengan segera.

Apa perlu anda tahu hanyalah bagaimana untuk turunkan berat badan dengan betul.

Pasti anda tidak berasa kecewa dengan hasilnya. Ini kerana, keputusannya tidak mendadak tetapi berkesan.

Teknik yang saya ajar ini lama-kelamaan akan menjadi amalan dalam kehidupan anda. Jadi, benda yang sudah jadi amalan adalah sukar untuk ditinggalkan. 

Apabila sukar ditinggalkan, pasti berat badan anda akan kekal pada berat badan yang ideal.

Semoga dengan tips yang saya berikan ini, akan membantu anda mendapatkan berat badan yang ideal.

Apa yang perlu anda ingat ialah...

MAKAN DENGAN BETUL, KURUS DENGAN BETUL.


Tuesday, October 15, 2013

Nak makan banyak mana ni?

Assalamualaikum. Jadi, minggu lepas kita sudah belajar mengira Kadar Metabolisma (KM) yang diperlukan oleh badan anda.

Sudahkah anda mengiranya?

Kalori yang anda kira itu adalah kalori yang badan anda bakar tanpa perlu berbuat apa-apa.

Maksudnya jika anda baring di atas katil seharian sekalipun, itulah jumlah kalori yang akan terbakar.

Oleh itu, hari ini anda perlu tahu kalori yang diperlukan yang sesuai dengan aktiviti harian anda.

Selaraskan aktiviti dengan kalori

Gaya hidup seseorang akan mempengaruhi kadar pengambilan kalori hariannya.

Semakin aktif anda, semakin banyak kalori yang diperlukan.

Ini kerana badan anda membakar banyak kalori untuk dijadikan tenaga.

Mari kita lihat kadar aktiviti bagi gaya hidup yang sesuai untuk anda



Tidak bersenam, banyak duduk : KM x 1.2

Gaya hidup biasa-biasa/Senaman biasa (1-3 hari seminggu) : KM x 1.38

Gaya hidup sederhana aktif/Senaman sederhana aktif (3-5 hari seminggu) : KM x 1.56

Gaya hidup sangat aktif/Senaman sangat aktif (6-7 hari seminggu) : KM x 1.73

Gaya hidup terlalu aktif (senaman setiap hari) : KM x 1.9

Setelah melihat kadar aktiviti di atas, maka, darabkanlah nilai di atas dengan Kadar Metabolisma anda.



Jadi, apa yang anda dapat, itulah jumlah kalori yang perlu anda ambil dalam sehari.

Maka, jika anda makan lebih daripada itu, berat badan anda akan naik.

Jika anda makan kurang daripada itu, maka berat badan anda akan turun.


Tuesday, October 8, 2013

Bagaimana hendak mengetahui jumlah kalori yang diperlukan?

Assalamualaikum. Tempoh hari saya sudah kongsikan bahawa kalori memainkan peranan penting dalam penurunan dan penambahan berat badan.

Jadi pada hari ini,saya akan kongsikan berapa jumlah kalori yang perlu diambil dan perlu dibakar untuk menurunkan berat badan dengan betul.

Pengambilan kalori harian

Ada 4 faktor yang mempengaruhi pengambilan kalori untuk badan anda:



1. Usia : Semakin meningkat umur, semakin kurang kalori yang diperlukan.

2. Berat : Lagi berat badan anda, lagi banyak kalori yang diperlukan. Sebab itu, bila berat
               badan dah mula turun, ramai yang tak dapat sesuaikan pengambilan kalori dengan
               berat badan yang baru, maka ia menjadi susah kepada seseorang untuk      
               menurunkan lagi berat badannya.


3. Ketinggian : Lebih tinggi anda, lebih banyak kalori diperlukan kerana badan lebih banyak
                      berusaha untuk menggerakkan nutrien dan peredaran darah.


4. Jantina : Kebiasaannya lelaki memerlukan lebih kalori berbanding wanita.

5. Kadar aktiviti : Jika seseorang itu seorang yang cergas dan aktif, maka lebih kalori dapat dibakar.

Cara mengira kalori

Sekarang, anda perlu tahu cara untuk mengira kalori.

Anda melakukan pengiraan ini supaya anda tahu berapakah kalori yang diperlukan oleh badan anda.



Formula pengiraan ini berbeza untuk lelaki dan juga perempuan.

Pengiraan ini dikira untuk anda mendapatkan Kadar Metabolisma (KM) untuk badan anda.

Untuk lelaki:

KM = 66 + (13.7 x berat (kg)) + (5 x tinggi (cm)) - (6.8 x umur (tahun))

Untuk perempuan:

KM = 655 + (9.6 x berat (kg)) + (1.8 x tinggi (cm)) - (4.7 x umur (tahun))

Jadi, anda boleh cuba mengira dahulu jumlah kalori yang diperlukan oleh badan anda.

Cubalah sekarang.



Tuesday, October 1, 2013

Tips turunkan berat badan dengan betul

Setiap orang mengimpikan berat dan bentuk badan yang ideal.


Bagi kaum lelaki, ada yang mahu badan seperti Brad Pitt.

Bagi kaum perempuan pula, ada yang mahu potongan badan seperti Angelina Jolie.


Oleh kerana ingin mencapai impian seperti di atas, ramai orang sanggup melakukan pelbagai jenis diet dan senaman.

Namun begitu, tidak ramai yang tahu bagaimanakah cara yang betul untuk kuruskan badan.

Akibat terlalu teruja untuk mencuba pelbagai jenis diet dan senaman tanpa mengetahui cara yang betul akhirnya boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.

Oleh itu, jika anda mahu menguruskan badan, maka anda perlu tahu bagaimana cara yang betul untuk melakukannya.

Teknik kuruskan badan yang betul.

Penurunan berat badan sebenarnya berkait rapat dengan kalori.

Berat badan akan turun apabila jumlah kalori yang digunakan oleh badan melebih jumlah kalori yang diambil.

Contohnya, kalori yang diperlukan oleh badan anda ialah 1800, tetapi kalori yang anda ambil hanyalah 1600. 

Jadi, akan berlakulah pengurangan berat badan. Begitu juga sebaliknya.

Berapakah kalori yang perlu dibakar untuk turunkan 1kg?

Tidak ramai yang tahu jawapan kepada soalan ini.

Ini kerana, apabila orang bertanya berapa berat yang sudah kita kurangkan, kita akan menjawab dalam kilogram, bukan dalam unit kalori.

Untuk pengetahuan anda, untuk mengurangkan berat sebanyak 1 kilogram, kalori yang perlu anda bakar adalah sebanyak 7700.

Jumlah ini sangat tinggi dan atas sebab inilah mengapa pertambahan dan pernurunan berat badan tidak berlaku dalam masa sehari sahaja.

Jadi, untuk menurunkan berat badan dengan betul adalah dengan mengawal kalori pemakanan anda.

Tetapi, bagaimana pula hendak mengetahui berapakah kalori yang diperlukan oleh badan anda dan berapa jumlah kalori yang perlu diambil?

Saya akan sambung dalam entri yang akan datang. Teruskan mengikuti perkembangan blog saya dari semasa ke semasa ye.