Pernah tak, pernah tak?
Semasa kanak-kanak
Saya tidak tahu sama ada anda pernah buat atau tidak apa yang saya perkatakan di atas. Tetapi saya pernah buat macam tu.
Kadangkala, saya akan terbangun secara tiba-tiba. Bila dah bangun tu, saya akan pergi ke bilik mak abah saya untuk mengetahui sama ada mereka masih ada atau tidak.
Jika saya mendengar dengkuran abah saya, maka saya yakin yang mak abah saya masih hidup. Lalu saya boleh sambung tidur semula dengan tenang.
Tapi kenapa saya buat macamm ni ye?
Semasa kecil, saya ada satu perasaan takut kehilangan. Takut hilang yang paling kuat ketika itu ialah takut kehilangan mak abah saya.
Walaupun saya ini nakal dan degil orangnya, tetapi saya tetap menyayangi mak abah saya. Jadi, takut kehilangan mereka itu sangat-sangat dirasai.
Jika saya kehilangan mereka, apa yang pasti, saya sudah kehilangan kasih sayang daripada seorang ibu dan bapa.
Kehilangan kasih sayang ibu dan bapa adalah sesuatu yang lebih bernilai daripada wang ringgit. Ramai di dunia ini yang tiada ibu atau bapa pasti sanggup menghabiskan harta-harta yang mereka ada asalkan mereka dapat merasa kasih sayang ibu dan bapa.
Selain itu, jika saya sudah kehilangan mak abah saya semasa kecil, pasti perkara yang seterusnya saya takuti ialah makan minum saya.
Yelah, saya kan masih kecil lagi masa tu, mana nak cari duit untuk buat belanja makan. Selalunya, makan minum tu dah siap masak je. Saya cuma pergi dapur untuk senduk je makanan tu.
Tapi kalau mak abah saya sudah tiada, siapa pula yang akan sediakan makan minum untuk saya dan adik beradik saya? Ada ke yang sudi bantu? Atau saya kena kerja untuk sesuap nasi atau saya terpaksa mengemis demi mendapatkan makanan?
Semasa kecil pun saya dah fikir sampai tahap macam ni kan? Boleh tahan tak?
Tapi apa yang penting, ketika saya masih kecil, saya tahu saya memang tak boleh hidup tanpa mak abah saya. Tanpa mereka, banyak benda saya tak boleh uruskan sendiri. Sampai satu tahap, saya harap, kalau Allah nak ambil nyawa ahli keluarga saya, ambillah saya dahulu supaya saya tak sempat rasa hidup derita tanpa mak dan abah.
Syukur Alhamduliilah
Sekarang saya pun dah berusia 28 tahun. Sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Alhamdulillah, mak abah saya masih hidup lagi sampai sekarang, sempat mereka merasa nikmat memiliki cucu sendiri.
Allahuakbar. Rancangan Allah S.W.T ini sangat misteri. Walaupun sering merasa takut jika kehilangan mak abah saya, tapi Allah telah memanjangkan umur mereka sehingga tahap saya dan adik beradik lain sudah mampu hidup berdikari sendiri.
Syukur juga saya panjatkan kepada tuhan sekalian alam kerana masih memberi kesempatan kepada saya dan adik beradik lain untuk merasai lagi kasih sayang mak abah saya walaupun saya sudah mempunyai keluarga sendiri.
Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada mak abah saya dan semoga Allah mengampuni mereka serta memberkati segala apa yang mereka lakukan di dunia ini.
Jika semasa kecil saya sering takut kehilangan mak abah saya, kini selepas mempunyai anak sendiri, saya pula takut jika saya dan isteri saya pergi dahulu dan meninggalkan anak saya keseorangan pada usianya yang baru meniti 2 tahun.
Andainya saya dan isteri pergi dahulu, maka anak saya akan kehilangan satu nikmat yang sangat besar iaitu kehilangan kasih sayang ibu dan bapa.
Kehilangan nikmat ini seawal usia 2 tahun pasti suatu perkara yang menyedihkan. Ini kerana kasih sayang adalah sanga penting bagi kanak-kanak seusia ini untuk membesar. Mereka perlukannya agar dapat merasa dimanjakan, dibelai dengan kasih sayang dan diberi perhatian yang secukupnya.
Bayangkan jika kanak-kanak seusia ini kehilangan kasih sayang ibu dan bapa, pasti sedih bukan?
Selain itu, jika saya dan isteri pergi dulu, siapa pula yang akan ambil alih tugas saya untuk menjaga anak saya ini? Siapa yang akan sediakan makan minumnya, pakaiannya, tempat tinggalnya? Di samping itu, siapa pula yang sanggup melayan kerenahnya? Siapa? Siapa?
Mesti yang ada kata opah dan atuknya kan ada? Betul tu, tapi sampai bila? Adik beradik? Saudara mara? Mereka mungkin boleh jaga, tetapi bagaimana tahap kasih sayang yang mereka berikan, adakah sama seperti yang kita berikan?
Setiap kali memikirkan tentang hal anak saya ini, saya pasti akan berasa sedih. Kerana saya tahu, hanya saya dan isteri saya sahaja yang boleh berikan yang terbaik untuk anak saya.
Atas sebab itulah saya sering berdoa kepada Allah agar Dia memanjangkan umur saya dan isteri agar kami dapat memberikan kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada anak saya paling kurang pun sehingga dia dewasa dan mampu untuk berdikari sendiri.
Tetapi, jika Allah takdirkan saya dan isteri hidup lagi selepas anak saya sudah membesar menjadi insan yang mampu berdikari sendiri, hanya rasa syukur yang tidak ternilai saya dapat panjatkan kepada Allah Yang Maha Esa.
Cukuplah setakat ini bebelan saya, risau pula saya jika bebelan saya terlalu panjang, ramai pula yang akan menangis akibat tersentuh. (Oh perasan sendiri pula)
Semoga apa yang saya kongsikan ini dapat memberi manfaat kepada anda yang membaca dan tidak lupa kepada diri saya sendiri. Selain itu, jika anda rasakan apa yang saya kongsikan ini bermanfaat untuk rakan-rakan anda, sudi-sudikanlah untuk berkongsi dengan mereka. Mana tahu mereka akan mendapat manfaat yang selama ini mereka cari.


No comments:
Post a Comment