Assalamualaikum. Saya yakin dan pasti ramai yang sedang bercuti dan berehat bersama keluarga pada cuti umum hari ini. Saya juga yakin dan pasti ramai ibubapa sedang sibuk menguruskan persiapan anak-anak untuk kembali ke sekolah.
Memandangkan cuti sekolah akan tamat tidak lama lagi, para ibubapa harus mengambil kesempatan sedia ada untuk memastikan keperluan untuk anak-anak mereka untuk memulakan persekolahan akan lengkap sepenuhnya.
Anda pula bagaimana? Adakah anda sudah tergolong dalam golongan ibubapa yang sedang sibuk menguruskan persekolahan anak-anak?
Perbelanjaan sekolah 2014
Pada zaman sekarang harga sesuatu barang semakin lama semakin naik. Barang-barang persekolahan juga tidak terkecuali daripada terkena tempiasnya.
Harga barang-barang persekolahan semakin lama semakin tinggi. Tak kiralah sama ada baju ke, seluar ke, kasut ke, semuanya pasti akan naik harga.
Perkara ini pastinya akan merunsingkan kepala ramai ibubapa. Jika anak seorang mungkin peningnya biasa-biasa sahaja. Tapi, cuba bayangkan jika anaknya ada 5, rasanya boleh gugur semua rambut di kepala.
Di sini saya ingin tunjukkan satu keratan gambar yang diambil daripada satu akhbar tanah air di mana ia menunjukkan jumlah kos barang-barang persekolahan yang perlu ibubapa ambil tahun untuk tahun 2014.
Gambar ini juga telah memecahkan anggaran kos perbelanjaan ini kepada dua iaitu kos belanja untuk pelajar lelaki dan kos belanja untuk pelajar perempuan.
Bagi pelajar lelaki, kos belanjanya ialah RM189.20. Manakala, bagi pelajar perempuan kos belanjanya ialah RM174.30. Secara puratanya, kos belanja bagi seorang anak masa kini ialah RM181.75. Namun begitu harga ini belum termasuk kos buku-buku sekolah seperti buku nota, buku latihan atau mungkin juga buku teks (untuk pelajar yang tidak layak mendapat pinjaman buku teks).
Andaikata belanja ini termasuk sekali kos buku, mungkin belanjanya mencecah RM400!
Naik, naik dan naik
RM400 untuk seorang anak pada tahun 2014, tinggi ke rendah?
Bagi saya, kos belanja ini memang tinggi. Tapi, ini belum lagi masuk duit belanja harian sepanjang tahun persekolahan.
Pernah saya berborak dengan kawan saya berapakah duit belanja yang dia berikan kepada anaknya setiap hari? Katanya, setiap hari dia akan bekalkan RM5.00 setiap hari.
Pergh! RM5.00 setiap hari? Banyaknya. Saya dulu, belanja sekolah saya RM2.00 sahaja. RM1 untuk sekolah pagi dan selebihnya untuk sekolah petang.
Kalau RM5.00 setiap hari, maksudnya, memang makin bertambahlah kos belanja sekolah seorang anak. Jom kita kira.
Kos belanja harian sepanjang tahun:
RM5 x 5 hari (hari persekolahan) x 4 minggu (minggu persekolahan) x 10 bulan (bulan persekolahan)
= RM1000.00
Kos perbelanjaan seorang anak (belanja keperluan sekolah + belanja harian)
RM400.00 + RM1000.00
= RM1400.00
Maknanya, dalam setahun, ibubapa haruslah menyediakan RM1400 untuk seorang anak mereka. Wow! Ini baru seorang sahaja. Kalau 5 orang yang dah sekolah, setahun kena sediakan RM6000!
MasyaAllah! Tinggi sungguh belanja untuk menghantar anak ke sekolah. Jika tiada persiapan awal yang dilakukan, sudah pasti para ibubapa akan berada di dalam kesusahan dan juga kesempitan wang.
Kos perbelanjaan ini juga tidak akan kekal kerana ia akan meningkat dari tahun ke tahun. Contohnya, jika anak anda sekarang berusia 1 tahun, selepas 6 tahun dia akan memulakan persekolahan. Dengan mengambil kira kada inflasi pada 5% setahun, mari kita lihat berapakah jumlah perbelanjaan yang perlu disediakan:
[RM1400 x 5%] + RM1400 = RM1470
Maka, pada usia anak anda 7 tahun, perbelanjaan yang perlu anda keluarkan untuk menghantar anak anda ke sekolah ialah RM1470. Nampak tak nilainya semakin meningkat?
Mula sekarang
Sedar tak sedar, kos belanja persekolahan anak semakin lama semakin naik. Mahu atau tidak, kita sebagai ibubapa haruslah menerima hakikat ini.
Jadi, apa harus kita lakukan?
Apa yang anda boleh buat ialah, menabunglah dari awal untuk belanja pendidikan anak anda. Jika tidak dapat menabung banyak, menabunglah sedikit demi sedikit.
Janganlah tidak menabung langsung kerana ia akan memakan diri anda semula.
Menabung sedikit demi sedikit ini adalah untuk mengelakkan anda mengeluarkan belanja secara banyak sekaligus. Jika anda sudah ada simpanan sedikit, maka kewangan anda akan terasa kurang bebanannya bila tidak dikeluarkan sekaligus.
Jika tidak dapat dimulakan dengan RM100, mulakanlah dengan menyimpan RM50 sebulan. Jika RM50 pun tak boleh, simpanlah pada nilai yang lebih kecil daripada itu. Nak simpan dengan nilai sen pun, insyaAllah ia akan membantu juga waktu kita sesak.
Yang penting, mulakanlah menyimpan dan mulakanlah awal. Jangan dihujung-hujung tu baru nak mula. Waktu tu, memang banyaklah belanja nak dikeluarkan sekaligus.
Saya berharap dengan entri ini, ia dapat membantu menyedarkan anda dan saya tentang pentingnya memiliki simpanan awal untuk persekolahan anak-anak. Semoga anda dan saya mendapat manfaat yang sebaiknya hasil perkongsian entri ini.
Jika anda rasa entri saya ini bermanfaat untuk dikongsikan dengan rakan-rakan anda, maka silakanlah untuk mengongsikannya. Semoga kita bersama-sama mendapat faedah hasil perkongsian ini.

No comments:
Post a Comment