Friday, November 29, 2013

Jika Nyawaku Gantinya, Aku Sanggup [Demi Anakku]

Sebelum itu saya ingin memohon maaf kerana menggunakan kata ganti diri 'aku' untuk entri kali ini. Tujuannya ialah supaya saya dapat menyampaikan cerita ini dengan lebih berkesan.

Mohon bersabar ye andainya cerita ini panjang. Tapi, mana tahu dengan kesabaran anda, anda boleh memberikan pertolongan. Terima kasih kerana sudi membaca.

=========================================





Tengah hari tadi aku menerima panggilan telefon daripada abang aku. Dia tahu yang aku sekarang bekerja sebagai seorang konsultan takaful.

Sebagai seorang konsultan takaful, tugas aku ialah memberi nasihat dan juga menyampaikan info-info tentang kepentingan takaful dalam kehidupan kita.

Tujuan abang aku menelefon aku adalah untuk meminta nasihat berkaitan dengan takaful. Kebetulan pula aku lapang waktu tu, bolehlah aku bantu abang aku ni.

Abang aku memulakan ceritanya. Ada seorang kawannya dari sekolah lamanya sedang ditimpa dugaan yang begitu berat.

Anaknya yang baru berusia 2 minggu telah diuji oleh Allah S.W.T untuk menanggung penderitaan yang sangat hebat.

Seorang bayi yang comel, yang indah kurniaan Tuhan, tanpa diduga disahkan menghidapi penyakit jantung berlubang.



Allah… Jika aku berada di tempat kawan abang aku tu, rasa macam nak luluh jantung dengar khabar berita macam tu. Rasa macam tak nak percaya pun ada, tapi itulah yang sebenar-benarnya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Aku pasti dalam kepala kawan abang aku, banyak perkara yang hendak difikirkannya. Mungkin ada masalah di tempat kerja ke, masalah peribadi ke, sekali tiba-tiba, dia diuji oleh Allah dengan penyakit anaknya yang baru lahir ini.

Adatlah, bila ditimpa masalah, kita pasti akan mencari seseorang sama ada adik beradik ke, saudara mara ke ataupun rakan-rakan untuk meminta bantuan. Jadi, kawan abang aku ni pun meminta pertolongan abang aku untuk mendapatkan pandangan tentang di mana dia boleh rujuk untuk dapatkan rawatan penyakit jantung berlubang ini.

Jadi, abang aku pun memberikan pendapat dan pandangan yang sekurang-kurangnya boleh membantu kawannya ini. Sebagai seorang bapa, abang aku juga berasa simpati dengan kejadian yang menimpa kawannya ini. Hanya seorang bapa akan memahami hati seorang bapa.

Aku juga turut memahami apa yang dirasakan oleh kawan abang aku ini. Ini kerana anak aku pun pernah menjalani pembedahan untuk menyembuhkan penyakit hernia yang dihidapinya dulu.

Rasa nak menangis tengok anak aku kena cucuk bius sebab nak tidurkan dia untuk pembedahan dia. Ibu dia, tak payah ceritalah, sampai merah-merah mata. Bila dah keluar dari bilik pembedahan, tengok dia kena usung keluar, nampak lemah je keadaannya.



Ketika keluar dari bilik pembedahan, anak aku menangis seolah-olah macam mengatakan, abah, ibu, Zara sakit ni, tolonglah Zara, ibu, abah.

Sedih sangat bila terbayang waktu itu. Tapi, apa yang menimpa kawan abang aku ini, lagi hebat ujiannya. Penyakit jantung berlubang ini memang penyakit yang serius dan boleh membawa maut.

Tiada ibu atau bapa di dunia ini yang mahu melihat anak mereka meninggal dunia begitu sahaja tanpa mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Sambil memberi nasihat dan pendapat, sempat juga abang aku bertanya kepada kawannya sama ada dia sudah memiliki medical card untuk anaknya.

Kawannya menjawab belum ada kerana tidak sempat memilikinya. Memandangkan abang aku sudah memiliki medical card, abang aku berpendapat mungkin sempat lagi untuk memohon. Atas sebab inilah abang aku menelefon aku untuk meminta nasihat.



Abang aku bertanya sama ada masih sempat tak untuk memohon medical card bagi kawan anaknya yang sudah menghidapi jantung berlubang ini?

Aku bertanya berapa usia anaknya? Abang aku menjawab baru 2 minggu. Aku bertanya lagi, bila dapat detect penyakit tu? Abang aku cakap baru lagi.

Memang aku sedih dengan keadaan yang menimpa anak kawan abang aku tu, tapi apakan daya aku, aku memang tak boleh bantu mendapatkan medical card untuk anak kawan abang aku tu.

Ini kerana, mana-mana syarikat takaful ataupun insurans tidak akan menanggung mana-mana individu yang sudah mempunyai penyakit sedia ada. Dalam hal ini aku tidak akan salahkan kawan abang aku ini, ini kerana dia pun tak tahu anaknya ada penyakit jantung berlubang sehinggalah baru-baru ini.

Untuk pengetahuan korang semua, kos untuk menjalani rawatan penyakit jantung berlubang ini boleh mencecah sehingga RM50,000.00. Ini bukan nilai yang kecil, tambah-tambah lagi kita hidup di zaman kos kehidupan yang sangat tinggi.

Ini pasti menjadi beban kepada kawan abang aku ni. Jika benarlah dia perlukan RM50,000.00 untuk rawatan anaknya, di mana dia boleh dapatkan wang sebanyak itu? Jika dia memiliki simpanan kecemasan, insyaAllah dia boleh keluarkan. Tetapi kalau tiada, bagaimana?





Ya Allah, RM50,000.00 ini bukan kecil nilainya. Kita pun, kadangkala nak bersedekah RM5.00 pun berkira, inikan pula hendak keluarkan RM50,000.00. Ya Allah, ya Tuhanku, kau bantulah kawan abang aku ini ya Allah. Ringankanlah bebannya, bantulah dia menghadapi ujian Mu ya Allah.

Sebelum mengakhiri perbualan dengan abang aku, sekali lagi aku beritahu kepadanya yang aku tak boleh nak bantu kawannya memohon medical card. Jangan kata aku sahaja, malah mana-mana syarikat takaful pun tidak akan menerima permohonan daripada sesiapa yang sudah mempunyai penyakit sedia ada.

Namun begitu, apa yang aku boleh buat hanyalah berdoa agar kawan abang aku ni tabah menghadapi ujian yang berat ini dan semoga dia mampu memberikan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa anaknya itu. Semoga Allah membantu hambaNya ini ya Allah.


Jadi, nasihat saya kepada anda semua, jika anda masih belum memiliki medical card untuk anak-anak dan juga diri sendiri, dapatkanlah dengan segera.

Hubungi mana-mana konsultan takaful yang boleh membantu anda mendapatkan pelan yang terbaik untuk anda dan keluarga.

Jangan bila sudah terhantuk, baru nak terngadah. Ketika itu semuanya sudah terlambat.

Semoga anda semua dijauhkan daripada musibah seperti cerita ini.

No comments:

Post a Comment