Thursday, January 23, 2014

Bukan diri aku yang aku risaukan



Hari ini (Rabu, 22/1/2014) aku ada baca kisah seorang ayah yang risau dengan masa depan isteri dan anak-anak dia. Hidzin nama dia dan cerita pasal dia ada keluar dalam suratkhabar hari ini.

Hidzin ni kerja sebagai seorang juruteknik di sebuah kilang di Gebeng, Pahang. Sebelum ni kehidupan dia berjalan dengan baik dan lancar sehinggalah pada suatu hari Allah memberi ujian kepadanya.

Hidzin ditimpa kemalangan jalanraya pada bulan September 2013 dan menyebabkan kaki kanannya cedera parah. Akibatnya, dia terpaksa memakai alat penyokong kaki dan tongkat.

Keadaan ini menyebabkan dia tidak boleh bekerja buat sementara waktu. Selain itu, kakinya juga berisiko untuk cacat kekal.

Hal inilah yang membuatkan Hidzin semakin gusar tentang masa depan isteri dan anak-anaknya. Ini kerana, jika di dapati kakinya cacat kekal maka syarikat tempat dia bekerja akan memberhentikan dia kerana dia tidak boleh lagi berkhidmat kepada syarikat.

Hidzin akan kehilangan sumber pendapatan utamanya. Jika selama ini isteri dan anak-anaknya mengharapkan duit gaji Hidzin untuk menyara mereka, kini mereka sudah kehilangan tempat untuk bergantung apabila Hidzin bakal diberhentikan kerja kelak.

Allahuakbar. Berat sungguh dugaan yang ditimpa Hidzin. Aku yang baca pun rasa sedih, tambah-tambah lagi ia membabitkan isteri dan anak-anaknya. Tapi, Allah turunkan ujian ni pasal Dia sayang hambaNya. Allah takkan sesekali menganiayai hamba-hambaNya.

Apa yang lebih memilukan lagi ialah apabila Hidzin bagitau sekarang dia risau dan buntu kat mana nak dapatkan duit untuk buat belanja harian keluarga dia macam sewa rumah dengan belanja sekolah anak sulungnya.

Dengan keadaan dia yang tak boleh bergerak aktif dan sudah pasti tidak boleh bekerja, dia tidak tahu apakah cara yang boleh dia buat untuk dapatkan duit.

Selain itu, isteri Hidzin yang berasal dari Thailand hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa dan tidak bekerja. Anak Hidzin yang sulung pula bersekolah menggunakan visa kerana dilahirkan di Thailand. Ini menyebabkan anak Hidzin tidak mendapat keistimewaan seperti pelajar-pelajar tempatan seperti mendapat kemudahan pinjaman buku teks. Jadi, Hidzin lah terpaksa menanggung belanja membeli buku teks.

Situasi ini menyebabkan Hidzin risau tentang masa depan pendidikan anaknya. Hidzin sedar pendidikan ini sangat penting untuk anaknya, sebab tu dia risau sangat tentang perkara ini.

Bila aku baca kisah Hidzin ni, musibah dia datang bertimpa-timpa, lepas satu, satu lagi datang. Lepas ni, tak tahu apa lagi yang bakal menimpa. Tapi aku percaya, Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang bernama Hidzin ni.

Kisah ini juga membantu menyedarkan aku tentang betapa beratnya tugas aku sebagai seorang konsultan takaful. Aku yakin jika ada seorang konsultan takaful yang pernah bertemu dengan Hidzin, situasi kehidupannya sekarang pasti berubah.

Hidzin sekarang cuba mendapatkan bantuan supaya dia boleh memiliki sebuah motorsikal beroda tiga untuk dia gunakan untuk bekerja sendiri. Andainya Hidzin memiliki perlindungan takaful, sudah pasti dia boleh miliki motorsikal beroda tiga dengan menggunakan duit pampasan takaful yang dia terima.

Jadi, dengan motorsikal itu Hidzin boleh keluar bekerja sendiri untuk menampung kehidupan keluarganya. Tapi kini Hidzin perlu terus menerus berdoa agar ada mana-mana insan atau golongan tertentu yang akan sudi membantunya.

Kenapa aku cakap tugas aku berat? Aku cakap macam tu pasal nak meyakinkan orang ramai memiliki takaful ni bukan kerja mudah. Walaupun aku dah tunjuk-tunjuk kes seperti Hidzin ni untuk dijadikan teladan, masih ada yang tak nak ambil takaful. Malah ada yang menolak sebab mereka merasakan musibah seperti ini takkan berlaku kepada mereka.

Tapi, penolakan itu takkan menghalang aku untuk teruskan perjuangan aku membantu lebih ramai orang agar mereka tidak merasa keperitan yang dirasai oleh Hidzin. Aku tahu apa yang aku buat ini adalah untuk menfaat bersama.

Jika ada yang mempertikaikan perjuangan aku, aku akan buat tak endah sebab aku yakin di luar sana masih ramai lagi yang memerlukan bantuan aku.

Seperti yang kita lihat pada kes Hidzin ini, Hidzin sebenarnya lebih risau tentang masa depan isteri dan anak-anaknya dan bukan dirinya sendiri. Jadi, jika Hidzin ada mengambil takaful, dia sebenarnya bukan ambil untuk dia, tapi dia ambil untuk masa depan isteri dan anak-anaknya.

Tapi malangnya, Hidzin tidak ada perlindungan takaful dan dia kini perlu memohon bantuan orang ramai. Kalaulah aku yang berjumpa Hidzin lebih awal, pasti aku dapat bantu dia pada ketika ini.

Kepada Hidzin, aku harap kau dapat bersabar dengan ujian ini. Allah sebenarnya sedang menguji kau. Dia hendak melihat adakah kau ingat kepada Dia disaat kau susah ini. 

Hidzin, Allah itu Maha Mendengar dan Maha Memperkenan. Kau berdoalah, kau mintalah kepadaNya supaya diringankan beban yang kau tanggung dan mintalah juga supaya dibebaskan kau daripada musibah ini. Sesungguhnya Dia lebih mengetahui daripada apa yang kita ketahui.

Hidzin, kau seorang yang ayah yang baik. Kau sayang isteri kau, anak-anak kau, sebab tu kau risau tentang masa depan mereka. Jadi, aku yakin dengan niat kau yang baik untuk kesenangan keluarga kau, pasti akan ada orang yang membantu. Berdoalah Hidzin.

Kepada rakan-rakan semua, marilah kita sama-sama doakan kesejahteraan dan kesenangan untuk Hidzin. Semoga Allah S.W.T akan membantunya. Dan juga, semoga perkongsian ini membawa seribu satu manfaat kepada kita semua.

Allahuakbar.

No comments:

Post a Comment