Wednesday, January 8, 2014

3 Komponen Untuk Perancangan Persaraan

Assalamualaikum.

Ada 3 komponen yang perlu kita ambil kira bila kita merancang untuk persaraan kita.


Menurut CEO Private Pension Administrator Malaysia, Datuk Steve Ong, perancangan persaraan adalah satu konsep besar yang perlu dipecahkan kepada 3 komponen supaya kita tahu apa yang perlu difokuskan.

========================================
Komponen Pertama : Pengganti Pendapatan
========================================

Kita seharusnya memiliki pengganti pendapatan apabila kita bersara kelak.

Apabila bersara, kita seharusnya memiliki 2/3 daripada gaji terakhir yang kita dapat.

Kenapa 2/3?

Datuk Steve Ong menjelaskan bahawa 1/3 yang hilang itu ialah perbelanjaan yang kita gunakan sewaktu kita masih bekerja.

Semasa bekerja, 1/3 gaji kita antaranya telah dikenakan potongan KWSP, perbelanjaan minyak dan tol untuk ke tempat kerja dan sebagainya.

Soalnya, bagaimana kita hendak memastikan apabila kita bersara kelak, kita ada pengganti pendapatan berjumlah 2/3 daripada gaji terakhir kita tu?

Jawapannya mudah saja, simpanlah 1/3 gaji kita mulai sekarang. InsyaAllah apabila bersara kelak kita akan ada 2/3 daripada gaji terakhir kita.

==============================
Komponen Kedua : Pengekalan
==============================

Pengekalan ini berkait rapat dengan berapa lama jangka hayat kita untuk hidup.

Datuk Steve Ong berkata bahawa kaum lelaki di Malaysia boleh hidup sehingga umur 74 tahun, manakala kaum perempuan pula sehingga umur 76 tahun.

Apabila bersara, ramai orang menganggap duit simpanan KWSP yang mereka terima itu sebagai durian runtuh lalu menggunakannya sesuka hati mereka.

Mereka gunakannya untuk bercuti ke luar negara, membeli kereta baru, membelanjakannya untuk majlis kahwin anak-anak dan akhirnya dalam tempoh 3-5 tahun duit simpanan itu akan habis.

Akibatnya, mereka yang sudah bersara ini kehilangan sumber yang boleh menjana pendapatan sewaktu bersara dan menyebabkan berlakunya tekanan hidup.

Menurut Datuk Steve Ong, duit simpanan KWSP yang mereka terima itu sepatutnya dijadikan sumber yang boleh menjana pendapatan mereka selepas bersara.

Dengan simpanan itu, ia dapat menjamin cara hidup yang sama yang telah diamalkan sebelum bersara sehinggalah mereka sudah tiada lagi di dunia ini.

Lagi bagus jika mereka juga mengamalkan menyimpan 10% daripada gaji mereka sewaktu bekerja yang mana akhirnya akan membantu sewaktu mereka bersara kelak.

====================================================
Komponen Ketiga : Lindungi Simpanan Daripada Inflasi
====================================================

Pastikan duit kita disimpan di dalam skim pelaburan yang kadar pulangannya berubah mengikut kadar inflasi semasa. Maksudnya, pastikan kadar pulangan pelaburan kita berada lebih tinggi berbanding kadar inflasi semasa.

Datuk Ong menasihatkan supaya kita menyimpan seberapa banyak yang kita mampu untuk tabung persaraan.

Kita boleh catu apa yang kita makan, kita boleh catu pakaian yang kita pakai, tetapi jangan sesekali kita mencatu simpanan untuk tabung persaraan kita.

Kita juga tidak boleh menggunakan duit yang kita simpan untuk persaraan untuk tujuan-tujuan lain. Simpanan persaraan ini bukanlah sumber kewangan untuk tujuan-tujuan lain, tetapi ia untuk kegunaan semasa persaraan sahaja.

Jika kita tetap menggunakannya, sehingga tiba waktu persaraan, baru kita sedar yang kita sudah tiada simpanan untuk digunakan sewaktu sudah bersara. Ketika itu, menyesal pun tidak berguna lagi.

No comments:

Post a Comment