Thursday, January 16, 2014

4 Tips Memulakan Simpanan Pendidikan Untuk Anak

Assalamualaikum.

Baru-baru ini kita digemparkan dengan kisah seorang kanak-kanak yang mendaftar di sebuah sekolah terpaksa membayar yuran sekolah menggunakan duit syiling.

Apa yang menyedihkan ialah, datuk kepada kanak-kanak malang ini membawa duit syiling di dalam bunjut kain dan mengira duit syiling di hadapan cikgu-cikgu sekolah tersebut sewaktu pendaftaran.


Malangnya, apabila dikira, duit syiling itu tidak mencukupi untuk membayar yuran persekolahan kanak-kanak ini. Ya Allah, saya berasa sangat kasihan dengan apa yang menimpa kanak-kanak ini dan datuk.

Mujur cikgu-cikgu sekolah itu prihatin dengan masalah yang menimpa kanak-kanak itu lalu membantu menambah duit yang tak cukup itu untuk membayar yuran pendaftarannya.

Alhamdulillah. Semoga Allah sahaja yang boleh membalas jasa cikgu-cikgu yang membantu kanak-kanak ini.

Apa perasaan anda?

Apakah perasaan anda bila membaca tentang cerita kanak-kanak ini yang banyak terpapar di media-media massa?

Sedih? Kasihan? Simpati? Atau tiada perasaan langsung?

Saya percaya anda yang membaca entri saya ini bukan jenis manusia yang tiada perasaan langusng dengan perkara yang terjadi ini. Paling kurang pun, pasti anda akan berasa simpati dengan apa yang terjadi.

Mungkin juga ada di antara anda yang telahpun menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak tersebut. Ini kerana kita dapat lihat bahawa dalam berita yang dipaparkan tentang kanak-kanak ini, turut terpampang nombor akaun untuk sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan kepada kanak-kanak malang ini.

Syukur alhamdulillah jika anda menjadi sebahagian daripada masyarakat yang sedia membantu.

Tetapi, dalam masa kita sedih, kasihan dan simpati kepada kanak-kanak ini, adakah kita mengambil iktibar atau pengajaran dengan apa yang berlaku ini?

Pengajaran? Iktibar?

"Pengajaran apa? Iktibar apa ni?"

Mungkin ini persoalan yang bermain-main dalam fikiran anda kan?

Begini ye saya terangkan. Pendidikan pada zaman sekarang, jika ingin diperolehi, anda tidak boleh mendapatkan secara percuma. Semuanya memerlukan duit.

Saya fokuskan kepada pendidikan di universiti. Kos pendidikan di universiti dari tahun ke tahun semakin lama semakin meningkat. Ia berpunca daripada musuh utama duit iaitu inflasi.

Inflasi menyebabkan nilai tunai semakin jatuh, jadi ini menyebabkan kos pendidikan akan meningkat.


Jika 10 tahun dahulu kos untuk ijazah sarjana muda dalam bidang pemgurusan ialah RM20,000, tetapi pada zaman kini ia telah meningkat menjadi RM40,000. Ini baru bidang pengurusan, belum lagi kos untuk bidang kejuruteraan dan perubatan, mungkin lebih tinggi.

Soalnya, adakah anda sudah bersedia dengan simpanan sebanyak RM40,000 dan ke atas untuk pendidikan anak-anak anda?

Pinjaman pendidikan

"Ala, apa susah, pinjaman pendidikan ada. PTPTN, MARA, JPA dan macam-macam lagilah sumber pinjaman yang kita boleh dapat, tak payah nak simpan-simpan."

Betul apa yang anda fikirkan tu, dah ada pinjaman, buat apa nak pening-peningkan?

Tapi yang jadi masalahnya, sampai bila pinjaman ini akan ada? Adakah ia boleh bertahan sampai bila-bila? Atau adakah ia boleh bertahan sampai betul-betul tiba masa anak anda melanjutkan pelajaran ke universiti?

Tiada siapa yang tahu sama ada pinjaman pendidikan ini dapat kekal lama atau tak. Andainya pada waktu anak anda ingin melanjutkan pelajaran, segala pinjaman pendidikan telah dimansuhkan dan anda perlu tanggung kos pendidikan anak anda sendiri.

Bagaimana anda hendak bantu anak anda? Simpanan pun anda tak buat macam mana anak anda nak lanjutkan pelajaran yang kosnya lebih RM40,000 tu?



Nak pinjam daripada adik beradik? Saudara mara? Kawan-kawan?

Entah-entah diorang pun sama-sama sibuk macam anda nak buat pinjaman dengan orang lain dan tak ada masa nak tolong anda.


Sebab itu, anda perlu bersedia sejak anak anda masih kecil lagi. Jangan bermula lambat, takut-takut simpanan tidak mencukupi.



4 tips memulakan simpanan pendidikan untuk anak



Jadi di sini saya hendak berkongsi dengan anda 4 tips yang boleh anda gunakan untuk memulakan simpanan untuk anak anda.




Tips yang pertama ialah, anda perlu ketahui hala tuju pendidikan anak anda. Maksudnya di sini ialah anda perlu tahu bidang apa yang anda mahu anak anda ceburi. Sama ada bidang pengurusan, kejuruteraan ataupun perubatan.



Kemudian, tanyakan 4 soalan ini kepada diri anda sendiri:


  1. Jurusan dan universiti yang ingin dituju.
  2. Jenis program sama ada luar negara/ dalam negara.
  3. Bagaimanakah mengira jumlah yang perlu disimpan sebulan?
  4. Di manakah tempat simpanan paling sesuai?
Tips yang kedua ialah anda perlu tahu berapa banyak yang perlu anda simpan. Sebelum ketahui jumlah yang perlu anda simpan, anda perlu tahu kos pengajian yang anda pilih untuk anak anda. Setiap jurusan mempunyai kos yang berbeza-beza.


Katakan anda mahu anak anda memilih jurusan pengurusan perniagaan di sebuah universiti tempatan di mana kos pengajiannya sekarang ialah RM40,000.00. Andaikata anak anda sekarang berusia 2 tahun dan dia akan masuk ke universiti pada usianya 19 tahun. Ini bermakna anda ada masa 17 tahun untuk menyimpan sehingga anak anda masuk ke universiti.

Pada 17 tahun akan datang, kos pengajian tidak akan kekal pada jumlah RM40,000. Ini kerana ia akan meningkat disebabkan inflasi. Andaikan inflasi semasa ialah 5%. Jadi, mari kita kira berapakah kos pengajian untuk anak anda 17 tahun akan datang:

[RM40,000 x 0.05 x 17] + RM40,000 = RM74,000

Jadi, pada 17 tahun akan datang, sewaktu anak anda berumur 19 tahun dan ingin menyambung pengajian dia universiti, kos pengajiannya ialah RM74,000.

Maka untuk mengetahui berapakan jumlah simpanan yang perlu anda buat sebulan, mari kita kira bersama-sama sekali lagi:

[RM74,000 / 17 tahun] / 12 bulan = lebih kurang RM365 sebulan

Jadi, anda perlu menyimpan RM365 sebulan untuk memastikan anda ada simpanan sebanyak RM74,000 sewaktu anak anda berusia 19 tahun.

Mungkin anda merasakan RM365 sebulan adalah terlalu tinggi untuk anda bukan? Jangan risau, anda boleh mulakan dengan menyimpan seberapa banyak yang anda mampu dahulu.

Apa yang penting di sini ialah anda perlu melatih diri untuk disiplinkan diri dahulu untuk menyimpan duit untuk pendidikan anak-anak anda.

Tips ketiga ialah, anda perlu pelbagaikan tempat simpanan untuk pendidikan anak anda. Menyimpan duit hanya pada satu jenis simpanan adalah kaedah yang paling tidak efektif dan efisien.

Dengan menyimpan duit di dalam pelaburan saham, pulangan yang anda terima adalah lebih baik dan lebih tinggi berbanding simpan di dalam akaun simpanan biasa. Walaubagaimanapun, anda perlu tahu bahawa pelaburan saham ini juga hadir dengan risiko yang tinggi.

Selain itu, anda harus memikirkan skim simpanan yang boleh membantu anda meneruskan simpanan untuk anak anda walaupun anda ditimpa 3 perkara ini iaitu, kematian, hilang upaya menyeluruh dan sakit kritikal.


Ketiga-tiga perkara ini akan menyebabkan anda kehilangan sumber pendapatan anda dan seterusnya mengganggu proses anda untuk terus menyimpan duit untuk pendidikan anak-anak anda.

Jadi, untuk atasi masalah sebegini, anda boleh menyimpan di dalam skim pendidikan takaful di mana ia menyediakan perkhidmatan untuk meneruskan simpanan pendidikan anak anda walaupun anda ditimpa 3 perkara yang disebutkan tadi.

Tips yang keempat dan terakhir ialah melakukan pemantauan terhadap simpanan anda. Jika anda melabur duit simpanan di dalam saham, tolong pantau keadaan saham sama ia boleh menyebabkan kerugian teruk atau tidak. Ini terjadi kerana pasaran kewangan sentiasa berubah-ubah.


Selain itu, impian anda untuk hala tuju pendidikan anak anda mungkin berubah. Mungkin sebelum ini anda sasarkan anak anda melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan, tetapi anda mengubah untuk sasarkan anak anda melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan pula. Jadi, kos pendidikan akan berubah dan simpanan bulanan juga turut berubah.

Di samping itu, ada satu ketika mungkin keluarga anda mengalami masalah kewangan dan terpaksa menggunakan duit dengan segera. Jadi, terpaksalah menggunakan duit simpanan pendidikan anak anda.

Tetapi, andaikata kedudukan kewangan keluarga anda sudah kembali selesa, jangan lupa untuk 'top up' semula duit yang anda sudah gunakan ye. Nanti tak cukup pula duit untuk anak anda menyambung pengajiannya.

Saya berharap tips-tips yang saya berikan ini dapat memberi manfaat kepada anda semua untuk mula menyimpan untuk pendidikan anak-anak anda. Pesan saya sekali lagi, janganlah kita bermula lewat kerana dikhuatiri simpanan kita tidak mencukupi.

Sekiranya anda merasakan entri saya ini bagus untuk dikongsikan dengan rakan-rakan anda, jangan lupa klik butang 'share' di bawah ye. Semoga kita sama-sama beroleh manfaat hasil perkongsian ini.

No comments:

Post a Comment